MILAN, 29 JULAI – Como meneruskan musim panas yang sibuk dalam pengambilan pemain kelmarin dengan menandatangani bekas pemain pertahanan Perancis, Raphael Varane, menjelang musim Serie A pertama kelab tepi tasik itu dalam tempoh 21 tahun.
Varane telah menyertai Como dengan perjanjian dua tahun dengan pilihan untuk satu musim lagi selepas dilepaskan oleh Manchester United pada penghujung musim lalu.
Juara dunia bersama Perancis pada 2018, Varane telah bermain 93 kali untuk negaranya sebelum bersara daripada bola sepak antarabangsa tahun lalu.
Pemain berusia 31 tahun itu memenangi Piala FA dan Piala EFL bersama United, dalam tempoh tiga tahun di kelab gergasi Liga Perdana itu selepas 10 tahun memenangi pelbagai trofi di Real Madrid.
Varane memenangi tiga kejuaraan La Liga dan empat Liga Juara-juara di Madrid, yang turut dinobatkan sebagai juara dunia empat kali sepanjang berada di Santiago Bernabeu.
Bek tengah itu adalah pemain yang terbaharu di bawa masuk oleh Como selepas beberapa pemain yang lainnya pada musim panas ini setelah layak secara automatik ke Seria A musim lalu.
Pembelian musim panas Como juga termasuk penyerang antarabangsa Itali Andrea Belotti, Alberto Moreno dan Pepe Reina, manakala bekas bintang Sepanyol, Arsenal dan Barcelona Fabregas secara rasmi dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih Jumaat lalu selepas bekerja di bawah Osian Roberts musim lalu.
Como bakal bertandang ke Juventus dalam perlawanan pembukaan kempen akan datang pada 19 Ogos. – AFP