BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Comquest Sdn Bhd, penyedia penyelesaian teknologi maklumat terkemuka, memperkukuh kerjasama strategiknya dengan Amazon Web Services (AWS) dengan menganjurkan bengkel selama tiga hari bagi pemimpin operasi IT dan infrastruktur di Brunei.
Bengkel tersebut dijadualkan berlangsung dari 30 September hingga 2 Oktober, di ibu negara.
Bengkel itu bertujuan memperkasakan profesional IT Brunei dengan kemahiran terkini dalam teknologi awan, pengurusan infrastruktur, serta kecerdasan buatan (AI).
Inisiatif tersebut selaras dengan visi negara untuk membangunkan tenaga kerja digital berkemahiran tinggi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi di pelbagai sektor.

Peserta bengkel terdiri daripada pengurus operasi IT, ketua infrastruktur dan pembuat keputusan teknologi.
Sepanjang bengkel, mereka akan mengikuti sesi interaktif, kajian kes, soal jawab dan latihan praktikal yang dikendalikan oleh pakar bersijil AWS serta profesional Comquest.
Pada hari pertama, peserta akan mempelajari pengetahuan asas mengenai konsep, perkhidmatan dan keselamatan awan AWS. Hari kedua akan memberi panduan praktikal mengenai perkhidmatan teras AWS, seni bina dan amalan terbaik bagi operasi berskala besar.
Pada hari ketiga, peserta diperkenalkan kepada alat, aplikasi dan strategi AI untuk mempercepat transformasi digital.
Selain itu, peserta turut mendapat pengalaman praktikal dalam pengurusan infrastruktur awan, automasi aliran kerja IT, amalan terbaik operasi berskala besar dan strategi transformasi digital khusus untuk Brunei.
Menurut Pengurus Besar Comquest, Gaurav Shrotriya, kerjasama ini menekankan komitmen syarikat dalam menyokong ekonomi digital Brunei dan pembangunan modal insan.
Beliau berkata, “Dengan membekalkan pemimpin IT pengetahuan serta alat untuk memanfaatkan teknologi awan, kami berharap dapat memacu inovasi dan memperkasakan organisasi untuk berkembang dalam landskap digital yang pesat berubah.”
Bengkel ini juga menjadi platform perkongsian ilmu dan kerjasama, sambil menerapkan amalan terbaik global yang disesuaikan dengan ekosistem IT Brunei.
Gabungan kepakaran AWS dan wawasan tempatan Comquest dijangka memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan berkesan kepada semua peserta.

