Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Kumpulan Concepts Computer dan D-Link International Pte Ltd, hari ini, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengembangkan lagi produk kedua-dua belah pihak serta mengeratkan lagi hubungan perniagaan.
Majlis penandatanganan berkenaan berlangsung di Dewan Brilliance, Concepts Computer, Kiulap di mana menandatangani bagi pihak D-Link International Pte Ltd ialah Presidennya, Jacky Chang dan Concepts Computer diwakili Pengarah Urusannya, Vincent Pao dengan disaksikan oleh wakil Pejabat Ekonomi dan Budaya Taiwan ke Brunei Darussalam, William Lin dan Pengawal Kewangan Kumpulan Concepts Computer, Alice Chan.
Turut hadir menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah para jemputan khas daripada rakan-rakan perniagaan Concepts Computer.
Dalam ucapan alu-aluannya, Vincent Pao menjelaskan bahawa produk D-Link akan dijual di Kedai Pameran Concepts Computer di mana produk-produk D-Link berupa router berwayar dan tanpa wayar, kamera-kamera IP, Adapters, Range Extender, Powerline dan banyak lagi diharap akan dapat sama-sama mengembangkan lagi jualan kedua-dua belah pihak serta memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

“Dengan adanya persefahaman antara D-Link ini, saya percaya ia akan dapat memenuhi permintaan peniagaan kecil dan sederhana,” tambahnya.
Sementara itu, Jacky Chang pula memberitahu media, dengan mem-perkenalkan produk-produk D-Link melalui Concepts Computer, mereka berharap ia akan dapat memenuhi pasaran perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi di Negara Brunei Darussalam.
Selepas penandatanganan MoU, majlis telah diteruskan dengan penerangan produk yang disampaikan oleh Pengurus Rangkaian D-Link International Pte Ltd, Darren Ng.