Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Concepts Computer mengambil inisiatif mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif melalui pelancaran pertandingan ‘Dare To Challenge Static-Hold’, iaitu pertandingan kecergasan yang dijalankan di bilik pameran syarikat berkenaan.
Pertandingan ini diadakan di Bilik Pameran Concepts Computer bermula 17 Oktober hingga 29 November itu memberi peluang kepada peserta untuk menguji kekuatan genggaman dan daya tahan dalam suasana yang menyeronokkan dan mencabar.
Menurut kenyataan Concepts Computer, pertandingan tersebut terbuka kepada semua individu berumur 18 tahun ke atas.
Peserta boleh mengambil bahagian dengan datang ke premis semasa waktu operasi biasa, di mana masa pegangan (passive hold time) akan direkodkan sekali sehari, dan peserta dengan catatan masa paling lama akan diisytiharkan sebagai pemenang.
Cabaran ini akan memilih lima pemenang lelaki dan lima pemenang wanita terbaik di akhir kempen.

Penyertaan adalah percuma dan peserta dibenarkan mencuba beberapa kali sepanjang tempoh pertandingan, namun hanya satu cubaan sehari dibenarkan bagi memastikan keadilan.
Para pemenang berpeluang memenangi hadiah menarik, yang mana pemenang bagi kategori lelaki dan wanita akan menerima produk eksklusif ‘Acerpure’ yang menekankan gaya hidup sihat dan bersih.
Bagi kategori lelaki dan wanita, tempat pertama akan menerima Penapis Air Acerpure Aqua WP1 bernilai $1,198.
Manakala tempat kedua hingga kelima bagi kategori lelaki akan menerima Kipas Tangan Mudahalih Acerpure Cozy HF1 bernilai $58, sementara itu, bagi kategori wanita tempat kedua hingga kelima akan menerima Pengering Rambut Boleh Lipat Acerpure Beauty HD1 bernilai $58.
Semua pemenang juga akan menerima beg gim dan botol air Acerpure bernilai $38 setiap satu, dengan jumlah keseluruhan hadiah melebihi $3,000.

Pengurus Besar Concepts Computer, Vincent Pao, menjelaskan bahawa pertandingan tersebut merupakan usaha syarikat untuk menggabungkan teknologi dengan kesejahteraan hidup masyarakat.
“Di Concepts Computer, kami percaya bahawa teknologi dan gaya hidup sihat saling melengkapi, dan pertandingan ini adalah cara kami menggalakkan masyarakat untuk mengutamakan kecergasan dalam suasana yang menyeronokkan dan unik yang mana ia juga sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kedai sebelum ini”.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai atau menyaksikan sendiri cabaran tersebut dengan mendapatkan maklumat lanjut melalui laman media sosial rasmi Concepts Computer.
Selain mengadakan pertandingan kecergasan Dare To Challenge Static-Hold, Concepts Computer turut akan menganjurkan Speed Typing Competition yang bakal diadakan pada 31 Oktober dan 1 November 2025 yang antara lain bertujuan mengasah kemahiran menaip pantas dalam kalangan pengguna komputer, khususnya pemilik produk Acer.
Pertandingan menaip pantas itu terbuka kepada semua pelanggan yang memiliki komputer riba Acer dan memberi peluang kepada peserta untuk menguji kecekapan serta kelajuan menaip mereka dalam suasana yang menyeronokkan dan kompetitif.

Pendaftaran bagi pertandingan tersebut akan ditutup pada 29 Oktober 2025, dan mereka yang berminat boleh mendaftar melalui pautan di laman media sosial rasmi Concepts Computer atau terus ke laman sesawang syarikat berkenaan.
Antara hadiah menarik yang ditawarkan termasuk Monitor Permainan 27”, Tablet Iconia, Kipas Boleh Lipat Acerpure, Set Papan Kekunci Tanpa Wayar Acer OAK920, serta baucar diskaun Logitech sehingga 50 peratus.

