Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Concepts Computer, salah sebuah penjual IT tertua dan terbesar di Negara Brunei Darussalam meneruskan perkembangannya dalam industri ICT tempatan apabila ia menerima beberapa anugerah semasa Malam Gala ACER yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.
Malam gala tahunan yang dihadiri oleh pihak pengurusan kanan ACER serta ketua dan wakil daripada pasaran serantau telah menyaksikan Concepts Computer menerima anugerah bagi Best Performing Brunei Partner of the Year dan Best Brunei Commercial Partner of the Year.
Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Acer, Malaysia, Kon Tek Yoong; Pengarah Jualan, Johnson Seet; dan Pengurus Cawangan, Richard Soo kepada Pengurus Besar Concepts Computer, Vincent Pao.
Mengulas mengenai anugerah berkenaan, Vincent Pao menyatakan kejayaan Concepts Computer menerima anugerah itu secara berterusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini merupakan hasil sokongan padu Acer untuk terus melakukan yang terbaik selama lebih 20 tahun.
Beliau menambah pencapaian itu juga merupakan hasil usaha tanpa mengenal penat lelah pasukan Concepts Computer serta sokongan tanpa henti pelanggan dan rakan-rakan kongsi perniagaan Concepts Computer.
