Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Concepts Computer telah memperkenalkan produk Epson terbaharu iaitu projektor laser 3LCD semasa Ekspo Teknologi Brunei (TechXpo) 2019 yang berlangsung di Dewan Bridex, Jerudong, hari ini.
Penggemar filem kini boleh mewujudkan suasana persis pawagam di kediaman sendiri dengan projektor laser 3LCD terkecil di dunia tersebut.
Projektor laser Epson EF-100 berkenaan berupaya untuk memancarkan imej yang berkualiti tinggi dari mana-mana sudut kediaman pengguna.
Menerusi saiz pemancaran yang berukuran setinggi 150 inci, barisan projektor inovatif ini menggabungkan pemancaran skrin besar dengan ciri fleksibiliti dan kegunaan yang mudah, serta ia bakal mengubah landskap pasaran projektor kediaman.
Dengan reka bentuk yang nipis dan minimalis, projektor mudah alih berkenaan terdapat dalam warna hitam (EF-100B) dan putih (EF-100W). Direka untuk pengguna yang mementingkan estetika, barisan projektor ini dapat disesuaikan dengan suasana kediaman dan gaya hidup pengguna.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai produk berkenaan bolehlah mengunjungi TechXpo 2019 atau mengunjungi bilik pameran Concepts Computer.
