Pelakon era 80an Norlida Ahmad dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sejak 12 Ogos lalu akibat masalah buah pinggang bernanah.
Anak perempuannya iaitu Ally Marisha Afrina berkata, Norlida atau lebih mesra dengan sapaan Connie sebelum itu mengalami demam berpanjangan sebelum membawanya mendapatkan rawatan lanjut di hospital berkenaan.
Bagaimanapun selepas seminggu dirawat, doktor memaklumkan ibunya menderita masalah buah pinggang bernanah. Apa lebih membimbangkan nanah berkenaan sudah membesar iaitu lapan sentimeter pada organ berkenaan.
“Sejak 9 Ogos emak saya demam dan tak surut-surut, jadi 12 Ogos lalu saya bawa dia ke Hospital Tuanku Jaafar untuk mendapatkan rawatan.
“Pada awalnya doktor memberitahu emak saya mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, darah dan buah pinggang.
“Tapi, pada Khamis, kami diberitahu buah pinggang emak saya dikelilingi nanah sebesar lapan sentimeter,” katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ally memberitahu ketika ini ibunya sedang bergantung kepada antibiotik sementara menanti keputusan lanjut mengenai masalah dihadapi Connie. Tambah Ally, dia juga tidak dapat membenarkan sebarang pelawat buat sementara waktu memandangkan ibunya perlu mendapatkan rehat secukupnya.
“Emak saya sedang menerima rawatan antibiotik sementara menunggu keputusan doktor sama ada perlu melakukan pembedahan atau pun tidak.
“Buat masa ini siapa yang hendak menziarahinya saya tak menggalakkan sebab emak saya masih dalam pemantauan dan agak lemah,” kongsinya. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P17-B-MSTAR_21082023.jpg)