Conor McGregor kembali bertarung

LOS ANGELES, 20 NOV – Conor McGregor akan kembali daripada persaraan untuk bertarung dengan Dustin Poirier pada bulan Januari, kata bintang UFC dari Ireland itu.

Menurut kenyataan laman rasmi atlet berkenaan, TheMacLife.com, pertarungan kategori 70kg itu akan berlangsung pada 23 Januari, dengan Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu menjadi gelanggang pilihan.

Laman itu menjelaskan McGregor sudah menandatangani perjanjian untuk bertarung dalam acara utama di UFC 257. Poirier juga turut menandatanganinya.

“Saya gembira dapat kembali dan melakukan apa yang saya cintai sekali lagi.

“Saya tidak sabar menghadapi cabaran baharu yang dibawa Dustin sejak pertarungan pertama kami, sambil menunjukkan kemampuan saya,” kata McGregor.

McGregor, yang menewaskan Poirier dengan knockout pusingan pertama pada tahun 2014, tidak masuk gelanggang sejak Januari lalu selepas dia menewaskan Donald Cerrone dalam tempoh 40 saat.

McGregor, yang beberapa kali mengumumkan persaraannya tetapi kembali semula ke gelanggang oktagon, pada Julai lalu berkata dia sudah bersara sepenuhnya.

Bagaimanapun ramai yang tidak mempercayai kata-katanya, dan McGregor terus sahaja dikaitkan dengan pertarungan menentang ikon tinju Filipina Manny Pacquiao sebelum pertemuan dengan Poirier telah disahkan. – AFP

Gambar fail pada 26 Januari lalu menunjukkan Conor McGregor tiba untuk Anugerah Grammy ke-62 di Los Angeles. Conor McGregor bersedia untuk kemunculan kembali dari bersara dengan pertarungan melawan Dustin Poirier pada Januari depan. – AFP