LONDON, 2 Nov – Bintang MMA Conor McGregor berkata bahawa dia mahu seorang petinju untuk ‘datang ke dunianya’, malah menyatakan bahawa dia mampu menewaskan petinju Amerika, Floyd Mayweather dalam satu pertarungan semula, menurut laporan BBC.
Warga Ireland berusia 29 tahun itu tewas kepada bekas juara welterweight, Mayweather dalam pertarungan di Las Vegas Ogos lalu, pertarungan yang dianggap pertarungan tinju termahal.
McGregor, ketika bercakap menjelangan perdana Dublin bagi “Conor McGregor: Notorious”, satu dokumentari mengenai dirinya, berkata pertarungan seterusnya adalah mempertahankan gelaran lightweight UCD miliknya.
“Sekarang saya fokus pada dunia saya, dunia pertarungan sebenar,” katanya kepada BBC.
“Secara idealnya saya mahu melawan petinju di dalam pertarungan MMA, kini seseorang pula datang ke dunia saya.
“Saya memasuki platform mereka dan telah berdepan dengan yang terbaik, bahkan saya melawannya dengan mudah di pusingan awal, sebelum saya mula keletihan da berhenti.”
Mayweather, yang kembali selepas dua tahun persaraan untuk menentang bintang MMA itu, mengambil masanya sebelum menguasai pertarungan dari pusingan pertengahan dan seterusnya di T-Mobile Arena.
Tetapi McGregor berkata bahawa dia pasti dapat menewaskan warga Amerika berusia 40 tahun itu dalam pertarungan semula dengan mengubah rejim latihannya.
“Jika terjadinya pertarungan semula, ia hanya perubahan sedikit pada diri saya dengan menjalani latihan melawan orang yang memberikan pukulan kuat dan menjatuhkan saya. – AFP