LONDON, 30 Nov – Chelsea menghidupkan peluang untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Swansea 1-0 sebentar tadi dengan menyaksikan pengurus mereka, Antonio Conte diarahkan ke tempat duduk penyokong kerana bertindak kasar terhadap pengadil.
Conte hilang sabar lewat permainan babak pertama di Stamford Bridge sebelum diarah meninggalkan tepi padang selepas bertengkar dengan pengadil keempat, Lee Mason berikutan pengadil, Neil Swarbrick tidak menghadiahkan Chelsea sepakan penjuru.
Dalam perlawanan tesebut, Chelsea sepatutnya diberikan sepakan penalti selepas Alvaro Morata dikasari oleh pertahanan Swansea Mike van der Hoorn dalam kotak penalti, namun pengadil meneruskan permainan tanpa memperdulikan bantahan Morata.
Chelsea berdepan kesukaran selepas ketiadaan Conte tetapi berjaya meraih gol apabila pertahanan Jerman, Antonio Rudiger menanduk masuk ke gawang lawan minit ke-55 sekali gus gol pertamanya sejak berhijrah dari Roma.
Walai bagaimanapun, the blues tidak menunjukkan permainan yang memberangsangkan selepas Conte membuat keputusan untuk merehatkan pemain kreatif Eden Hazard selepas persembahan yang menyakinkan semasa menentang Liverpool pada Sabtu yang berkesudahan seri 1-1.
Namun, bukan Hazard sahaja yang diberi kelonggaran untuk tidak beraksi. Pemain pertahanan Cesar Azpilicueta juga tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk pertama kalinya sejak 2015.
Di sebalik meraih kemenangan kelima daripada enam perlawanan liga, Chelsea kekal di belakang pendahulu, Manchester City dan ia memerlukan keajaiban bagi mereka untuk mempertahankan kejuaraan liga.
Dengan perlawanan bertemu pasukan yang di kelompok bawahan liga akan berlangsung pada Disember, Chelsea berharap sekurang-kurangnya dapat merapatkan jurang dengan City menjelang tahun baru nanti.
Conte minggu ini memberi amaran kepada pemainnya untuk tidak merungut mengenai kekurangan peluang gol dalam beberapa perlawanan.
Swansea pula kekal menduduki tangga kedua tercorot dengan tekanan semakin memuncak untuk pengurus, Paul Clement susulan gagal meraih kemenangan dalam enam perlawanan liga dan gagal menjaringkan gol pada empat perlawanan terakhir. – AFP