LONDON, 2 NOV – Tottenham hari ini mengumumkan pelantikan bekas pengurus Chelsea dan Inter Milan, Antonio Conte sebagai pengurus baharu selepas memecat Nuno Espirito Santo.
Spurs bertindak segera untuk mendapatkan khidmat pengurus dari Itali, yang menandatangani perjanjian selama 18 bulan sejurus melepaskan Nuno kelmarin selepas empat bulan memegang jawatan itu.
Conte, yang memenangi Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea pada 2016/2017, merupakan pengurus bebas sejak meninggalkan Inter Milan pada penghujung musim lalu, selepas memenangi Serie A.
“Kami gembira untuk mengumumkan pelantikan Antonio Conte sebagai ketua jurulatih dengan kontrak sehingga musim panas 2023, dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak,” kata kelab dalam kenyataan.
“Antonio pernah memenangi gelaran Serie A, termasuk hatrik Scudetto bersama Juventus, EPL dan juga menguruskan pasukan Itali, memacu The Azzuri ke peringkat suku akhir Euro 2016.”

Spurs telah menghubungi Conte untuk menggantikan Jose Mourinho yang dipecat awal tahun ini tetapi tidak dapat meyakinkan beliau untuk mengambil alih jawatan itu.
Walau bagaimanapun, pengarah bola sepak, Fabio Paratici kini berada di Tottenham dan mempunyai hubungan erat dengan pengurus berusia 52 tahun itu, yang sebelum ini pernah berkerjasama di Juventus.
“Saya sangat gembira untuk kembali menjalankan tugas sebagai jurulatih, dan melakukannya di sebuah kelab yang mempunyai cita-cita untuk menjadi kelab pencabar sekali lagi,” kata Conte.
“Tottenham Hotspur mempunyai kemudahan tercanggih dan salah sebuah stadium terbaik di dunia.
“Saya tidak sabar untuk memulakan tugas dan memberikan ucapan kepada pemain dan peminat.” – AFP