Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Contohi akhlak Rasulullah terhadap isteri

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Akhlak Rasulullah terhadap isteri-isterinya telah dikongsikan dalam program ceramah yang diadakan bagi memeriahkan lagi Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Pehin Dato Imam Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer, hari ini.

    Ceramah sempena Maulidur Rasul SAW bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Zon 1 Daerah Brunei dan Muara bagi Tahun 1444H/2022M itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara Zon 1 dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pehin Dato Imam Haji Mokti.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Asbi. Ceramah bertajuk ‘Akhlak Rasulullah terhadap Isteri-isteri’ telah disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Haji Harapandi bin Dahri.

    Dalam ceramah itu, beliau antara lain mengongsikan antara akhlak Rasulullah terhadap isteri-isterinya termasuk berbincang dengan isteri, mencium isteri sebelum keluar rumah, memberikan pujian kepada isteri, membantu mengerjakan pekerjaan rumah.Beliau juga mengongsikan bahawa Rasulullah mandi bersama isteri, husnuzon kepada isteri, mengutamakan kebaikan daripada kesalahan yang dilakukan, tidak bosan memberikan nasihat, tidak pernah memukul isteri Baginda, dan berpenampilan baik di depan Isteri.

    Antara tujuan majlis itu diadakan adalah sebagai menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, di samping memberi kefahaman dan minat terhadap sirah Rasulullah SAW.

    Ia juga dihasratkan untuk menggalakkan penglibatan Muslimah dalam menghadiri program keagamaan di masjid, sekali gus menanamkan rasa cinta dalam diri mereka untuk memakmurkan masjid. Majlis juga bertujuan untuk meningkatkan lagi peranan masjid sebagai pusat menimba ilmu serta mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan Muslimah masjid.

    Datin Hajah Nahriah hadir semasa program ceramah yang diadakan di Masjid Pehin Dato Imam Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer, kelmarin.
    Haji Harapandi ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Akhlak Rasulullah terhadap Isteri-isteri’ pada majlis tersebut.
    Antara yang hadir pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda