Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Contohi pengorbanan, ketabahan Hajar

    Kisah Nabi Ibrahim AS banyak dicatatkan dalam Al-Quran termasuk sirah antara paling mencabar apabila wahyu Allah SWT memerintahkan Baginda mengorbankan puteranya, Nabi Ismail AS.

    Di sebalik ibrah atau pengajaran bagaimana Nabi Ibrahim AS menerima dan melaksanakan arahan itu dengan redha, kita juga wajar mengenang dan mencontohi individu penting yang turut berkorban, iaitu Hajar AS yang melaksanakan peranan sebagai isteri dan ibu kepada pesuruh Allah SWT.

    Nama Hajar tidak disebut secara harfiah dalam Al-Quran, tetapi kisahnya tetap diungkapkan dalam doa Nabi Ibrahim AS, “Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya aku menempatkan sebahagian zuriat keturunanku di sebuah lembah (Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat).

    “Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakan rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Ibrahim: 37)

    Doa itu menjadi sumber kekuatan Hajar apabila ditinggalkan bersama Nabi Ismail AS yang masih kecil. Allah SWT memakbulkannya dan kemunculan air istimewa, iaitu Zamzam yang dikenang sempena perjuangan Hajar yang redha ditinggalkan di bumi gersang Mekah. Malah, larian Hajar berulang-alik dari Safa ke Marwah dan sebaliknya menjadi antara rukun penting dalam ibadat haji.

    “Adakah Allah SWT yang memerintahkan tuan melakukannya?” Soalan itu menjadi kemuncak penerimaan Hajar kepada keputusan diambil Nabi Ibrahim AS.

    Hajar tidak marah, sebaliknya bersikap rasional dengan bersangka baik terhadap suaminya. Tiada isteri sanggup ditinggalkan begitu sahaja, apatah lagi dengan anak masih kecil.

    Namun, Hajar meletakkan kebergantungan hidup semata-mata kepada Allah SWT. Baginda percaya, jika ia perintah Allah SWT, maka Tuhan sahaja yang akan mencipta kesenangan di sebalik kesusahan kerana bantuan-Nya akan sentiasa tiba apabila putus segala pengharapan kepada manusia.

    Keimanan Hajar diuji lagi apabila Nabi Ibrahim AS mendapat perintah mengorbankan anak tunggal mereka.

    Namun, Hajar sentiasa percaya suaminya tidak akan membuat suatu keputusan di luar kemahuan sekiranya tiada penggerak lebih agung berbanding wahyu.

    Malah, jawapan Nabi Ismail AS memberi kekuatan luar biasa kepada Nabi Ibrahim AS dan Hajar untuk melaksanakan perintah itu. Nabi Ismail AS bersabda dalam firman Allah SWT, “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati aku daripada orang sabar.” (Al-Saffat: 102)

    Hati ibu pasti bagai dirobek apabila anaknya perlu dikorbankan. Sekali lagi, Hajar meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT dan ujian berkenaan akhirnya bertukar menjadi iktibar gembira.

    Tempat Nabi Ismail AS ditukar kepada kibas, manakala daging kambing itu yang dikorbankan diagihkan kepada penduduk di sekitar Tanah Haram.

    Firman Allah SWT menjelaskan perintah itu sebagai ujian nyata dan Dia akan membalas usaha mereka dalam mengerjakan kebaikan serta kesabaran. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda