Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cools makin matang di Liga J1

    KUALA LUMPUR, 13 NOV – Beraksi dalam liga utama Jepun, Liga J1, memberikan perspektif baharu kepada pemain pertahanan Malaysia, Dion Cools yang diharapkan akan memberi manfaat kepada dirinya dan Harimau Malaya.

    Cools, yang bermain dengan Cerezo Osaka sejak Jun lepas, berkata pendedahan kepada sistem dan pendekatan taktikal yang berbeza di negara Matahari Terbit itu telah membantunya membaca permainan dengan lebih baik sekali gus dapat berkongsi pengalamannya dengan rakan senegaranya. Pemain berusia 29 tahun itu, dengan 37 penampilan dan enam gol sejak bersama Harimau Malaya pada 2021, berkata bermain di Jepun membuatnya lebih menghargai disiplin taktikal dan kepelbagaian gaya yang mentakrifkan Liga J1.

    “Bola sepak Jepun jauh berbeza daripada bola sepak Asia Tenggara pada pendapat saya. Jadi, bukan gaya permainan yang mungkin diterjemahkan di atas padang tetapi saya fikir ia lebih kepada pendedahan sistem baharu.

    “Saya boleh membantu rakan sepasukan untuk meneroka atau memberitahu mereka apa yang saya pelajari (di Jepun) dan mungkin saya boleh bantu barisan belakang atau serangan untuk mencari penyelesaian ketika kami bergelut dalam sesuatu perlawanan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Cools mengakui bahawa dia seronok beraksi di Jepun dengan setiap pasukan bermain dengan gaya tersendiri.

    Kepelbagaian taktik dan kualiti saingan di Jepun, katanya, telah memberikan pengalaman dan pendedahan yang berharga untuk beliau ke peringkat lebih tinggi dalam bola sepak Asia. Beliau berkata pasukan Malaysia juga telah bertambah baik dari segi keakraban skuad dan perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan pemain.

    “Kami mempunyai asas yang baik. Kami mempunyai ramai pemain berkualiti dalam pasukan sekarang serta ramai pemain muda. Jadi, mereka mempertingkatkan tahap pasukan,” katanya.

    Meskipun berdepan cabaran berterusan, Cools berkata pasukan negara tetap optimis dan bersatu dalam misi mereka untuk layak ke Piala Asia 2027 menjelang perlawanan Kumpulan F menentang Nepal dalam pusingan kelayakan pada Selasa depan (18 November). – Bernama

    Cools semasa sidang media di Hotel Hyatt Place Bukit Jalil pada 13 November. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda