RIYADH, 15 DIS – Para perunding gagal mencapai perjanjian tentang cara-cara bertindak balas terhadap kemarau pada rundingan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dihoskan Arab Saudi, kata peserta kelmarin.
Mesyuarat 12 hari Konvensyen PBB untuk Memerangi Penggurunan (UNCCD), yang dikenali sebagai COP16, berakhir kelmarin, sehari lebih lewat daripada yang dijadualkan ketika pihak-pihak tersebut cuba memuktamadkan perjanjian.
Sebelum rundingan itu, Setiausaha Eksekutif UNCCD, Ibrahim Thiaw berkata dunia menjangkakan perunding akan menerima pakai keputusan berani yang boleh membantu mengubah isu bencana alam sekitar yang paling meluas dan menjejaskan iaitu kemarau.
Namun ketika berucap pada sidang pleno kelmarin, Thiaw mengakui pihak-pihak yang terlibat memerlukan lebih banyak masa untuk bersetuju mengenai cara terbaik ke hadapan.
Siaran media kelmarin mengatakan pihak terbabit – 196 negara dan Kesatuan Eropah – telah mencatat kemajuan yang besar dalam meletakkan asas untuk isu kemarau global masa depan, di mana mereka berhasrat untuk menyelesaikannya pada COP17 di Mongolia pada 2026.
Rundingan Riyadh diadakan selepas kegagalan sebahagian daripada perbincangan biodiversiti di Colombia, kegagalan mencapai perjanjian PBB mengenai pencemaran plastik di Korea Selatan dan perjanjian kewangan iklim yang mengecewakan negara membangun pada COP29 di Baku, Azerbaijan.
“Hasilnya telah menekankan tentang cabaran yang dihadapi dalam rundingan global,” kata Pengarah Eksekutif Institut Antarabangsa bagi Alam Sekitar dan Pembangunan London, Tom Mitchell.
“Lebih-lebih lagi, landskap geopolitik yang berpecah-belah terbukti menjadi penghalang kepada proses COP dan beberapa pendapat diketepikan. – AFP
