Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    COP16 gagal capai persetujuan

    CALI, 3 NOV – Persidangan pemuliharaan alam terbesar dunia berakhir di Colombia kelmarin tanpa mencapai kata sepakat mengenai pelan tindakan untuk meningkatkan pembiayaan bagi perlindungan spesies.

    Persidangan Pihak-pihak ke-16 (COP16) bagi Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah ditangguhkan oleh presidennya, Susana Muhamad, setelah rundingan berlarutan hampir 12 jam lebih lama daripada jadual asal dan perwakilan mula meninggalkan persidangan untuk mengejar penerbangan.

    Pengunduran tersebut menyebabkan persidangan kehilangan kuorum untuk membuat keputusan, tetapi jurucakap CBD, David Ainsworth, memberitahu AFP bahawa ia akan disambung pada tarikh yang lain bagi membincangkan isu-isu yang belum selesai.

    “Kami akan terus bekerja kerana krisis ini terlalu besar untuk dihentikan,” kata Muhamad kepada AFP setelah menutup COP di Cali.

    Persidangan tersebut adalah yang terbesar dengan kira-kira 23,000 perwakilan berdaftar, ditugaskan untuk menilai dan mempercepatkan kemajuan bagi mencapai 23 sasaran yang ditetapkan di Kanada dua tahun lalu, dengan matlamat menghentikan kemusnahan alam sekitar oleh manusia menjelang 2030.

    Sasaran tersebut termasuk meletakkan 30 peratus kawasan darat dan laut di bawah perlindungan serta memulihkan 30 peratus ekosistem yang rosak menjelang 2030, mengurangkan pencemaran dan menghentikan subsidi pertanian serta lain-lain yang menjejaskan alam sekitar.

    Pada 2022, telah dipersetujui untuk menyediakan AS$200 bilion setahun bagi melindungi biodiversiti menjelang 2030, termasuk pemindahan AS$30 bilion setahun daripada negara maju kepada negara membangun.

    Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), jumlah pembiayaan untuk 2022 adalah sekitar AS$15 bilion. – AFP

    Susana (tengah) semasa menghadiri sesi pleno terakhir Sidang Kemuncak COP16 di Cali, Colombia, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda