BELEM, 6 NOV – Menjelang permulaan rasmi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahunan, puluhan pemimpin dunia akan berkumpul pada hari ini dan Jumaat di Belem, Brazil, bagi membincangkan langkah segera untuk membendung pemanasan global, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pemimpin Eropah yang hadir termasuk Canselor Jerman, Friedrich Merz; Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, bersama pegawai tertinggi daripada Kesatuan Eropah (EU) dan PBB.
Penganjur Brazil berharap sidang kemuncak itu dapat memberi momentum kepada persidangan dua minggu yang dikenali sebagai COP30, yang akan bermula secara rasmi pada Isnin dengan penyertaan puluhan ribu peserta dari sekitar 200 negara.
Presiden Luiz Inacio Lula da Silva, yang menyifatkan persidangan itu sebagai ‘COP Kebenaran’, berkata ia bertujuan menghasilkan keputusan yang nyata.
Namun, suasana politik ketika ini mencabar dengan peperangan dan kebimbangan ekonomi mendominasi tajuk utama berita, unjuran fiskal banyak kuasa dunia masih tidak menentu, manakala Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump terus menggiatkan agenda bahan api fosilnya.
Rumah Putih menyatakan pentadbiran Trump tidak berhasrat menghantar delegasi peringkat tinggi ke COP30.
Pada Khamis, para pemimpin dijadual melancarkan secara rasmi dana baharu bernilai berbilion dolar untuk melindungi hutan tropika, yang berperanan sebagai ‘paru-paru hijau’ dunia.
Pada 2019, sebanyak 140 negara berikrar untuk menghentikan penebangan hutan menjelang 2030, namun menurut kumpulan pemantau alam sekitar Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), hampir tujuh juta hektar hutan primer telah hilang hanya pada 2024.
Sidang kemuncak itu juga akan mengeluarkan seruan bersama untuk tindakan antarabangsa dalam pengurusan kebakaran hutan serta mempromosikan inisiatif bahan api lestari Brazil, bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran dan penggunaannya empat kali ganda menjelang 2035. Satu deklarasi berhubung usaha menangani kebuluran, kemiskinan dan perlindungan iklim juga dirancang. – Bernama/dpa


