Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    COP30 didesak iktiraf hidupan liar sebagai nadi iklim global

    PHNOM PENH, 11 NOV – Populasi hidupan liar seperti harimau bintang salji di Nepal, ikan lumba-lumba Irrawaddy dan burung hering di India memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekologi dunia. Namun, perubahan iklim kini mengancam kewujudan spesies berkenaan.

    Pakar pemuliharaan haiwan di peringkat global menyeru kerajaan supaya memasukkan elemen perlindungan hidupan liar dalam pelan adaptasi perubahan iklim mereka, memandangkan haiwan turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan ekosistem bumi.

    The World Federation for Animals (WFA), International Big Cat Alliance (IBCA)  dan Kajian Zoologi India (ZSI) menegaskan bahawa isu hidupan liar tidak boleh dipisahkan daripada tindakan perubahan iklim, sebaliknya mesti menjadi sebahagian daripadanya.

    “Hidupan liar bukan sekadar mangsa pasif perubahan iklim bahkan mereka adalah sekutu kita dalam menanganinya. Bukti saintifik semakin jelas menunjukkan bahawa haiwan membantu ekosistem menyerap dan menyimpan karbon dalam jumlah yang lebih besar berbanding apabila spesies itu tiada atau populasinya merosot,” kata Pakar Dasar Iklim WFA yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ed Goodall kepada Bernama.

    Seruan ini disuarakan ketika para pemimpin dunia berhimpun di Bandar Belem, Brazil minggu ini bagi menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30) untuk membincangkan langkah melindungi bumi.

    “Di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara, semakin banyak kerajaan menyedari kesan perubahan iklim terhadap hidupan liar, namun tindakan yang diambil masih jauh daripada memadai. Gelombang haba melampau, perubahan corak hujan dan kemarau yang semakin ketara telah mengubah laluan migrasi, sumber makanan dan kitaran pembiakan pelbagai spesies,” kata Goodall.

    Beliau menjelaskan populasi harimau memainkan peranan penting dalam mengawal ekosistem dengan mengekang pertambahan bilangan haiwan herbivor besar, sekali gus membolehkan lebih banyak pokok tumbuh dan menyerap karbon. Hutan yang mempunyai populasi harimau dilaporkan mampu menyerap 28 peratus lebih banyak karbon dan mengurangkan pelepasan sebanyak sembilan peratus.

    Sementara itu, harimau bintang salji di Nepal membantu mengekalkan kesihatan dan keseimbangan ekosistem pergunungan. Namun, situasi sebenar di lapangan adalah membimbangkan. Glasier semakin menipis di Artik, salji mencair di Kilimanjaro dan Himalaya, manakala perubahan suhu serta pola hujan di Sungai Mekong menjejaskan habitat serta sumber makanan hidupan liar.

    Additional Director ZSI, Dr C. Raghunathan berkata walaupun terdapat pelan seperti program pemuliharaan harimau bintang salji berasaskan komuniti di Nepal, usaha itu masih bersifat terpisah dan berskala kecil.

    “Di COP30, kerajaan perlu menjadikan Tindakan Iklim Berasaskan Alam sebagai tema merentasi semua sektor. Pemuliharaan hidupan liar mesti diiktiraf bukan hanya sebagai matlamat biodiversiti, tetapi juga sebagai penyelesaian iklim.

    “Walaupun kemajuan dicapai melalui pelan tindakan nasional, kebanyakan dasar iklim di rantau ini masih melihat pemuliharaan hidupan liar sebagai manfaat sampingan dan bukannya komponen utama adaptasi iklim,” katanya kepada Bernama dari Kolkata, India.

    Beliau juga berkata antara keutamaan ialah mewujudkan koridor rentas sempadan bagi spesies utama seperti harimau, gajah dan lain-lain yang perlu dipetakan dan dibiayai sebagai infrastruktur semula jadi bagi penyerapan karbon dan penyesuaian iklim.

    Menurut laporan Living Planet Report 2022 oleh WWF dan Persatuan Zoologi London, populasi hidupan liar dunia menurun sebanyak 69 peratus antara 1970 dan 2018.

    Pengarah Kerjasama Antarabangsa IBCA, Dr Amit Mallick berkata kerajaan di rantau ini kini giat melaksanakan dasar, pemantauan dan program ketahanan habitat yang menunjukkan kesedaran terhadap kaitan antara iklim dan hidupan liar.

    “Langkah seterusnya ialah memperluaskan usaha ini, memastikan pembiayaan jangka panjang serta menjamin setiap spesies dan habitat yang terdedah mempunyai strategi ketahanan iklim,” katanya kepada Bernama dari New Delhi.

    “Di COP30, kerajaan perlu menempatkan perlindungan hidupan liar sebagai teras tindakan iklim, dengan mengiktiraf spesies pemangsa utama seperti harimau melambangkan integriti ekosistem yang menyerap karbon, mengawal air serta menampan kejutan iklim,” tegas Amit. – Bernama

    Orang ramai bergambar di luar tempat Sidang Kemuncak Iklim PBB COP30 di Belem, Brazil kelmarin. COP30 didesak iktiraf hidupan liar sebagai nadi iklim global. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda