PHNOM PENH, 7 NOV – Para penyokong tindakan iklim Asia Tenggara menyeru supaya diwujudkan agenda serantau yang jelas bagi mempengaruhi dasar iklim, sambil memberi amaran, banjir, kemarau dan ribut yang semakin buruk kini memusnahkan nyawa, sungai serta tanah pertanian di seluruh rantau ini.
Ketika para pemimpin dunia berhimpun untuk membincangkan tindakan iklim di COP30 di Belem, Brazil sejak kelmarin, Asia Tenggara sedang dilanda pelbagai bencana berkaitan cuaca yang menjejaskan ekonomi pesat membangun dan masyarakat luar bandar dengan kerugian yang semakin meningkat serta satu daripada negara paling terdedah ialah Timor-Leste.
Di Belem, para saintis alam sekitar dan pemimpin kerajaan dunia akan membincangkan isu utama termasuk pengurangan pelepasan karbon bagi menghadkan pemanasan global kepada 1.5°C, menarik modal swasta, menangani penebangan hutan serta pasaran karbon. Keadaan di Asia Tenggara kekal membimbangkan.
Hujan lebat yang tidak menentu, puting beliung, taufan, banjir, peningkatan suhu dan gempa bumi memusnahkan harta benda, infrastruktur, tanaman serta sektor perikanan.
Dari kepulauan Filipina hingga ke negara paling padat penduduknya di rantau ini, Indonesia, dengan 270 juta penduduk, serta kuasa ekonomi baharu Vietnam, bencana berkaitan cuaca terus membawa penderitaan yang tidak berkesudahan.
Ekonomi yang sedang pesat perindustriannya seperti Indonesia dan Vietnam kini berdepan dilema iklim, yang kerajaan perlu mengimbangi pertumbuhan ekonomi bagi mewujudkan pekerjaan untuk berjuta rakyat sambil melindungi alam sekitar pada masa yang sama. – Bernama


