MADRID, 12 Jan – Pemain tengah Arsenal, Francis Coquelin menyertai Valencia semalam untuk perjanjian empat tahun, kelab La Liga itu memaklumkan.
“Valencia mencapai persetujuaan dengan Arsenal semalam untuk penghijrahan Francis Coquelin, yang akan menjadi pemain jersi hitam dan putih sehingga 30 Jun 2022,” menurut kenyataan kelab.
Pemain Perancis yang berusia 26 tahun itu berhijrah ke Sepanyol dengan nilai yang tidak dinyatakan tetapi bayaran klausa yang bernilai AS$96.4 juta termasuk dalam kontrak barunya itu.
“Saya berpuas hati, ia cabaran baru saya. Saya mulakan hidup baru tetapi saya sungguh teruja,” Coquelin memberitahu melalui laman sesawang Valencia dan berkata bahawa dia sudah bercakap dengan jurulatih Marcelino Garcia Toral.
“Saya bercakap melalui telefon, perbualan yang baik jadi saya gembira berada di sini,” katanya.

Coquelin menyertai Arsenal pada 2008 dan membuat 160 penampilan untuk kelab itu. Jack Wilshere kembali ke Arsenal menjadikan aksi Coquelin sangat terhad musim ini.
Dia juga terkait dengan penghijrahan ke West Ham dan Crystal Palace termasuk Valencia.
Selepas diketepikan dari skuad Arsenal untuk perlawanan Piala Liga peringkat separuh akhir menentang Chelsea, Wenger mengesahkan: “Dia menyertai Valencia. Dia tidak banyak beraksi di sini namun dia mempunyai peluang jadi saya lepaskan.”
Pihak kelab mengucapkan selamat tinggal kepada Coquelin melalui Twitter: “Kami harap Coquelin dalam keadaan baik di Valencia dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.” – AFP