SEBENARNYA terdapat beberapa spesies tumbuhan liar dari genus Calathea dalam keluarga tumbuhan Marantaceae yang boleh dipilih untuk ditanam sebagai tanaman hiasan.
Salah satu daripadanya adalah spesies yang dipaparkan pada minggu ini yang banyak tumbuh meliar di kawasan kampung, belukar dan ladang getah. Daunnya berbentuk bujur panjang dan kuncup di hujung berwarna hijau muda.
Terdapat beberapa garisan berwarna hijau gelap di kiri dan kanan daunnya bermula di bahagian tengah urat daunnya yang membentuk corak seakan-akan tulang-tulang pada seekor ikan.
Sementara di bahagian bawah daunnya pula berwarna hijau keputihan. Ia cepat tumbuh untuk menjadi rumpun yang besar terutama jika ditanam dalam pasu dan diberikan keperluan dan penjagaan secukupnya.
Pembiakan dan penanaman
Ia senang untuk dibiakkan dengan menggunakan kaedah belahan rumpun. Kaedahnya harus dimulakan dengan mengorek rumpun pokok yang matang dari tanah.


Kemudian potong rumpunnya kepada beberapa rumpun yang lebih kecil dan tanam setiap rumpun dalam pasu dengan campuran medium tanaman yang baru.
Ia sesuai ditanam dalam medium tanaman yang bersaliran baik dan kaya dengan humus untuk pertumbuhan rumpun pokok yang sihat.
Medium tanaman yang biasa digunakan untuk tanaman pokok berpasu adalah campuran 3:2:1 iaitu tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai di mana ia sesuai untuk penanaman pokok ini.
Penjagaan
Pada dasarnya, pokok Calathea liar ini sangat sesuai tumbuh di tempat teduh. Apabila mendedahkannya kepada cahaya matahari yang berlebihan daunnya akan cepat bergulung dan menjadi seperti terbakar.
Ia memerlukan medium tanaman dengan kelembapan yang tinggi untuknya tumbuh subur. Oleh itu siram dua kali sehari pada hari panas dan juga semburkan daunnya dengan air. Jangan biarkan medium tanamannya kering kerana ini boleh menjejaskan pertumbuhan pokok ini. Siram bila perlu sahaja pada hari hujan.
Baja organik seperti najis ayam sangat sesuai untuk pokok ini kerana ia dapat membekalkan humus yang banyak untuk kesuburan pokok.
Namun baja jenis lain juga boleh digunakan asalkan diikuti kaedah penggunaannya.
Jika rumpun pokok menjadi tidak kemas, tanam semula dalam pasu yang lebih besar untuk pertumbuhan yang lebih subur atau pecahkan rumpun pokok kepada rumpun yang lebih kecil untuk ditanam semula dalam pasu lain dengan campuran medium tanaman yang baru.
Sekiranya didapati akar pokok terdedah disebabkan siraman air yang kuat dan sebagainya tambahkan medium tanaman ke dalam pasu berkenaan bagi menutupi bahagian akar yang terdedah.
Cuci daunnya dengan tuala lembap dan sapukan cecair pengilat daun untuk penampilan pokok dengan daun yang lebih bersinar, cantik dan menarik.
Idea pameran
Pokok ini sesuai dipamerkan di tempat teduh seperti dalam rumah.
Selain itu, ia juga sesuai untuk ditanam dalam pasu sebagai pokok spesimen atau dicampurkan dengan pokok berbunga atau berdaun dalam satu gubahan pokok hidup. Malah, ia juga boleh ditanam di atas tanah secara solo atau dicampurkan dengan pokok Calathea lain yang juga berdaun cantik dalam satu gubahan yang menarik.