Tuesday, October 4, 2022
26.2 C
Brunei

Corgi Diraja: Pendamping setia Ratu Elizabeth ii

-

LONDON – Bagi kebanyakan orang di seluruh dunia, perkataan corgi selama-lamanya dikaitkan dengan Ratu Elizabeth II.

Puteri Diana pernah memanggilnya sebagai “permaidani bergerak” kerana sentiasa berada di sisi ibu mertuanya.

Baka anjing kecil yang gemuk dan gebu dengan salakan yang bernada tinggi, corgi ialah teman setia mendiang Baginda sejak masih kecil lagi.

Baginda memiliki hampir 30 ekor anjing sepanjang hidupnya selama 96 tahun, dan ia menikmati kehidupan istimewa yang sesuai untuk haiwan peliharaan diraja.

Kemangkatan Elizabeth minggu lalu telah menimbulkan pertanyaan orang ramai tentang siapa yang akan menjaga anjing kesayangan Baginda.

Ratu Elizabeth II bertemu pasukan ragbi New Zealand All Blacks dengan corgi diraja yang hadir di Istana Buckingham pada 5 November 2002. – AP
Ratu Elizabeth II dan Ibu Permaisuri membawa anjing Corgi mereka bersiar-siar semasa lawatan ke stud diraja di Sandringham, England pada 19 November 1956. – AP
Ratu Elizabeth II ditemani Putera Andrew dan Putera Edward serta dua ekor corgi diraja di stesen kereta api jalan Liverpool pada 30 Disember 1970. – AP
Corgi diraja bersiar-siar di perkarangan Istana Buckingham pada 1 April 2009 melintasi kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat, Obama semasa bertemu dengan Ratu Elizabeth II. – AP

Tetapi Sky News melaporkan pada Ahad, menurut jurucakap istana, corgi akan berada di bawah penjagaan Putera Andrew dan bekas isterinya, Sarah Ferguson.

“Salah satu perkara menarik yang orang tertanya-tanya pada pengebumian ialah sama ada corgi akan turut hadir,” kata ahli sejarah diraja dan pengarang buku ‘Majesty: Elizabeth II and the House of Windsor’, Robert Lacey.

“Teman hidup terbaik Baginda ialah corgi. Anjing yang berkaki pendek, pemarah dan bising ini tidak menarik minat ramai orang di Britain, tetapi sangat penting bagi Baginda.”

Minat mendalam Elizabeth untuk memelihara corgi bermula pada tahun 1933 apabila bapanya, Raja George VI, membawa pulang corgi Welsh Pembroke yang mereka namakan Dookie.

Gambar Elizabeth ketika muda berjalan-jalan dengan corgi di luar rumah mewah mereka di London menjadi antara yang pertama diterbitkan selama beberapa dekad kehidupannya.

Apabila Baginda memasuki umur 18 tahun, Baginda diberi seekor lagi corgi dan menamakannya Susan, yang pertama antara barisan corgi yang akan dipeliharanya.

Kemudian terdapat dorgi iaitu kacukan dachshund dan corgi dimiliki oleh Baginda.

Sejak itu, binatang peliharaan tersebut sentiasa menjadi pendamping Ratu Elizabeth II dalam penampilan awam dan menjadi sebahagian daripada personanya.

Sepanjang 70 tahun pemerintahan Elizabeth atas takhta, corgi sentiasa berada di sisinya, termasuk menemani Baginda dalam lawatan rasmi, dilaporkan tidur di bilik sendiri di Istana Buckingham dengan pertukaran cadar setiap hari, dan kadang-kadang bukan sahaja menggigit buku lali pelawat yang tidak pernah dijumpai malah kerabat diraja.

Tiga ekor anjing peliharaannya pernah juga muncul bersama Baginda ketika menaiki helikopter menunggu James Bond dalam sketsa video acara pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2012 di London.

Pengarang British, Penny Junor mendokumentasikan kehidupan penuh semangat anjing-anjing ini dalam biografi 2018 “All the Queen’s Corgis.”

Dia mendedahkan bahawa Elizabeth sentiasa membawa corgi berjalan dan memberinya makan dan akan memilih nama haiwan peliharaannya sendiri.

Apabila ia mati, Baginda akan menguburkannya dengan batu nisan.

Penjagaan untuk corgi telah diamanahkan sebahagian besarnya kepada pembuat pakaian dan pembantu Baginda yang dipercayai, Angela Kelly serta pelayan peribadinya, Paul Whybrew.

Corgi juga hadir ketika Elizabeth mengalukan kedatangan pengunjung di istana, termasuk pemimpin negara dan pembesar-pembesar.

Apabila perbualan mereda, Elizabeth sering mengalihkan perhatiannya kepada anjingnya untuk mengisi kesunyian.

“Baginda juga bimbang tentang apa yang akan berlaku kepada anjingnya apabila Baginda tidak ada lagi,” tulis Junor, sambil menyatakan bahawa beberapa orang kerabat diraja tidak berkongsi kegemaran untuk corgi.

Selepas kematian seekor corgi, Willow, pada tahun 2018, dilaporkan bahawa Baginda tidak akan memelihara anjing lagi.

Tetapi hasrat Baginda itu berubah selepas mendiang suaminya, Putera Philip yang meninggal dunia pada tahun 2021 pada usia 99 tahun. Baginda memelihara corgi bagi mengisi kekosongan dan kesunyian serta untuk keselesaan.

Pada hari ulang tahun Putera Philip yang ke-100 tahun, Baginda dilaporkan menerima seekor lagi anjing peliharaan.

Selain meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri diraja, Elizabeth juga meninggalkan dua ekor corgi, seekor dorgi dan seekor anjing cocker spaniel. – AP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

PBB: 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan

ISLAMABAD, 3 OKT – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan serius dalam masa...
- Advertisment -