Saturday, December 7, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Corot akademik, kini usahawan berjaya

    Oleh Shaidathul Suhana Ros

     

    ALOR GAJAH – Pendidikan hanya mampu dicapai setakat darjah enam, peluang pertingkat kerjaya disekat, malah pernah ditipu ketika mula melibatkan diri untuk berniaga. Namun semua itu langsung tidak melemahkan semangat untuk terus mengejar kejayaan.

    Malah berkat kesungguhan, Abdul Raman Jaafar, 44, yang tidak lancar membaca dan tidak cekap menulis, kini memiliki 10 buah syarikat merangkumi perniagaan tekstil, pakaian dan aksesori. Pengamatan penulis mendapati, walaupun sudah berjaya, beliau tidak meninggi diri, tidak kedekut ilmu dan tidak malu mendedahkan kekurangannya.

    Contohnya, pesanan ringkas penulis mengenai temu janji dengan beliau dibalas dengan rakaman suara aplikasi Whatsapp yang berbunyi, “Maaf, puan tulis apa panjang-panjang? Saya tak faham. Saya tidak lancar membaca dan menulis. Tidak lancar membaca dan menulis.” Terngiang-ngiang kata-katanya itu dalam telinga penulis. Sukar mempercayainya, sehinggakan penulis tertanya-tanya sendiri, bagaimana beliau menguruskan perniagaan?

    Hidup sukar

    Setibanya penulis dan jurufoto di pusat perniagaannya di Masjid Tanah di sini, Abdul Raman dan para pekerjanya menyambut kami bagaikan orang kenamaan dengan terpampang kain rentang tertulis “Selamat Datang Bernama”. Terlintas di fikiran bahawa pengusaha ini bukan sahaja bijak berniaga malah pandai menyantuni tetamu, mungkin begitu juga susilanya dengan pelanggan.

    “Maaf puan jika sepanjang temu bual nanti, saya tersilap cakap atau tersasul sebutan, maklumlah saya bersekolah hingga tahun enam dan tingkatan satu pun hadir 15 hari pada awal persekolahan sahaja,” katanya kepada Bernama ketika memulakan perbualan dengan sopan dan merendah diri.

    Usahawan pakaian, tekstil dan aksesori, Abdul Raman Jaafar, (hadapan) bersama para pekerjanya di hadapan kedai hiasan dalamannya Amni Home Decor di Masjid Tanah. – Bernama
    Malah berkat kesungguhan, Abdul Raman yang tidak lancar membaca dan tidak cekap menulis kini memiliki 10 buah syarikat merangkumi perniagaan tekstil, pakaian dan aksesori. – Bernama
    Usahawan pakaian, tekstil dan aksesori, Abdul Raman Jaafar, (hadapan) bergambar bersama para pekerjanya di Gee Cantik Bridal House di Masjid Tanah. – Bernama

    Menceritakan kisah lampau, memandangkan beliau agak tercorot dalam akademik ditambah pula kesukaran hidup keluarganya, Abdul Raman nekad berhenti sekolah ketika berusia 13 tahun untuk membantu keluarga. Bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala ibunya menoreh getah.

    “Sebenarnya sejak usia lapan tahun saya sudah menjual jeruk dan kerepek dari rumah ke rumah, mengambil upah di kebun kelapa sawit, getah dan di sawah selain bekerja sebagai pembantu rumah pada hujung minggu,” katanya yang berasal dari Masjid Tanah. Dengan pendapatan bulanan antara RM120 hingga RM150, anak kelima daripada sembilan beradik itu membantu ibu bapanya membesarkan dan menyekolahkan lapan orang adik-beradiknya.

    Ketika berusia 13 tahun, Abdul Raman bekerja di kilang membuat sarung tangan dengan pendapatan RM450 sebulan, kemudian di kilang tekstil pada usia 17 tahun dengan gaji RM750 sebulan.

    Sepanjang bekerja di kilang itu selama 13 tahun, beliau dinaikkan pangkat menjadi penyelia, namun kerjayanya terbatas pada tahap itu kerana tidak lancar membaca dan menulis.

    Bermodal RM50

    Akhirnya, Abdul Raman berhenti kerja dan berjinak-jinak dalam perniagaan dengan menjual kain ela, cadar, karpet dan langsir dari rumah ke rumah. Sejak itu beliau tidak toleh ke belakang lagi, perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan.

    “Bermodalkan RM50, saya gigih berniaga dan pada masa sama menjadikan rumah saya sebagai butik pengantin walaupun tiada pengalaman dalam bidang itu.

    Syukur, pada 2010 saya berjaya memiliki sebuah bangunan kedai di Masjid Tanah untuk menjalankan perniagaan butik pengantin iaitu Gee Cantik Bridal House,” katanya. Setahun kemudian, beliau membeli sebuah lagi kedai di bangunan sama untuk menjalankan perniagaan hiasan dalaman iaitu Amni Home Décor.

    Bapa kepada dua cahaya mata itu tidak menafikan kepayahan yang dilaluinya. Namun, Abdul Raman yang hanya berbekalkan sijil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu sentiasa cekal sehinggalah kini mampu tersenyum bangga sebagai pemiliki 10 syarikat perniagaan di Melaka dan Kuala Lumpur.

    Selain dua perniagaan utamanya iaitu Amni Home Décor dan Gee Cantik Bridal House, syarikat lain miliknya ialah Raman & Aiza Group Sdn Bhd, Abdul Raman & Aiza Enterprise, As Hair Saloon dan Bumble Barber Shop. Kebanyakan syarikat dinamakan sempena nama isteri dan anak beliau.

    Perniagaannya kini dibantu 30 pekerja, menguruskan lebih 1,000 jenis pilihan fabrik diimport dari Korea dan China serta lebih 400 pasang pakaian pengantin bertatahkan manik dan labuci. Abdul Raman menyasarkan jualan sebanyak RM1.44 juta bagi Amni Home Décor dengan purata RM120,000 sebulan, manakala RM2.16 juta bagi Gee Cantik Bridal House dengan purata RM180,000 sebulan untuk tahun ini.

    Bantuan PUNB

    Abdul Raman mendapatkan pinjaman awal bagi perniagaannya sebanyak RM100,000 daripada institusi perbankan pada 2013, manakala modal mengembangkan perniagaan diperoleh daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) iaitu RM280,000 pada 2015 dan RM500,000  pada 2017.

    Memuji proses permohonan pembiayaan PUNB sebagai lebih mudah berbanding institusi-institusi kewangan, beliau berkata badan itu juga banyak membantu dalam tadbir urus syarikat, pemasaran dan pengurusan kewangan. “Walaupun saya bermasalah membaca dan menulis, tidak sukar berurusan dengan PUNB kerana kakitangannya sedia membantu selain urusannya tidak terlalu remeh.

    “Saya harap golongan Bumiputera akan memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan PUNB kerana ia adalah penyedia pembiayaan terbaik untuk perniagaan,” katanya. Abdul Raman yang turut memasang impian untuk membuka sebuah lagi pusat hiasan dalaman di Jasin pada Julai atau Ogos ini, yakin bantuan PUNB mampu merealisasikan impiannya itu.

    Datuk penipu

    Bukan mudah untuk berjaya dalam perniagaan, kata Abdul Raman, kerana beliau juga pernah ditipu oleh individu bergelar ‘Datuk’ yang mendakwa dirinya ejen PUNB, ketika pertama kali membuat permohonan pembiayaan perniagaan.

    “Individu itu yang kononnya mahu membantu mendapatkan pinjaman mengambil kesempatan ke atas diri saya yang tidak berpendidikan tinggi ini. Dia meminta saya membayar RM80,000 untuk permohonan pembiayaan PUNB. Setelah memberikan wang itu kepadanya, barulah tahu bahawa saya hanya perlu membayar RM5 di kaunter PUNB untuk permohonan itu,” jelas beliau yang tidak membuat sebarang laporan kerana mendapat maklumat bahawa individu itu telah ditangkap.

    Abdul Raman menasihatkan golongan usahawan agar berurusan di cawangan PUNB berhampiran untuk urusan berkaitan perniagaan. PUNB adalah sebahagian daripada usaha Majlis Permerkasaan Ekonomi Bumiputera, yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi meningkatkan kualiti usahawan Bumiputera yang terlibat dalam bidang ekonomi strategik melalui sokongan kewangan dan korporat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda