MILAN, 19 Sept – Penyerang Juventus, Douglas Costa menerima penggantungan empat perlawanan kerana meludah muka pemain sayap Sassuolo, Federico Di Francesco dalam perlawanan Serie A hujung minggu lalu di Turin, umum Persatuan Bolasepak Itali.
Costa diarah keluar padang setelah Video Bantuan Pengadil (VAR) menunjukkan perbuatannya menyiku dan menghantukkan kepala sebelum meludah ke muka Di Francesco, anak lelaki kepada jurulatih Roma, Eusebio Di Francesco, ketika pasukan juara itu menang 2-1 menerusi gol sulung Cristiano Ronaldo bersama kelab Itali itu.
Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri berkata kelab itu tidak akan membuat rayuan terhadap penggantungan itu.
Pemain itu, 28, dipilih untuk beraksi bersama skuad itu bagi kempen pembukaan Liga Juara-juara menentang Valencia, hari ini.
“Douglas Costa mengejutkan kami, tetapi dia membuktikan ia adalah satu insiden yang terpencil,” kata Allegri semasa sidang media pra perlawanan di Sepanyol.
“Untuk seketika dia tidak boleh mengawal perkara yang boleh berlaku dan dia telah memohon maaf. Dia akan digantung dalam empat perlawanan dan tidak akan membuat rayuan. – AFP