Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Empat pasukan bola sepak bawah 12 tahun dari ASEAN beraksi dalam Perlawanan Persahabatan Empat Penjuru yang berlangsung di Sekolah Rendah Jerudong baru-baru ini.
Perlawanan tersebut dianjurkan oleh Centre of Training, Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK) dan menyaksikan penyertaan empat pasukan iaitu COT A, COT B, DASH FA, dan Panchur Murai.
Pasukan COT A dinobatkan sebagai johan, manakala DASH FA meraih gelaran naib johan.
Tempat ketiga menjadi milik Panchur Murai, sementara COT B berada di tempat keempat.
Pemain terbaik perlawanan pula disandang oleh Vexian Ryan ak Alim dari pasukan Panchur Murai.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang ialah wakil penjaga COT, JPKK, Ibrahim bin Haji Taim.
Perlawanan persahabatan itu diadakan bertujuan untuk mempersiapkan pasukan COT JPKK menghadapi Kejohanan Nossa Liga Bawah 12 Tahun anjuran Brazilian Football Academy yang akan bermula pada 2 Jun nanti.
Selain itu, acara tersebut juga bertujuan bagi mengeratkan hubungan persahabatan dalam kalangan pemain akademi yang dijemput.
