LONDON, 8 APRIL – Thibaut Courtois mengesahkan bahawa beliau kini ‘cergas sepenuhnya’ untuk beraksi dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Arsenal malam ini.
Penjaga gol antarabangsa Belgium berusia 32 tahun itu telah terlepas tiga perlawanan terakhir bersama pasukan Sepanyol itu akibat kecederaan.
Namun, ketika bercakap kelmarin, sehari sebelum perlawanan di Stadium Emirates, Courtois berkata, “Saya berada dalam keadaan cergas sepenuhnya dan rasa sangat baik.
“Ia bukan kecederaan yang serius jadi saya masih dapat menjalani latihan di gim, dan saya juga sudah kembali ke padang sejak semalam, jadi saya rasa sihat dan 100 peratus bersedia.”
Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti sebelum ini terpaksa menurunkan pemain berusia 19 tahun, Fran Gonzalez, dalam kekalahan mengejut 2-1 kepada Valencia dalam saingan La Liga hujung minggu lalu selepas penjaga gol simpanan, Andriy Lunin, turut mengalami kecederaan.
“Saya sangat menghormati Arsenal dan ramai kawan saya yang menyokong Arsenal,” kata Courtois, yang pernah bermain untuk Chelsea sebelum berpindah ke Sepanyol pada 2018.
“Saya tahu mereka bermain dengan sangat baik dan hampir memenangi Liga Perdana Inggeris.
“Mereka bermain secara tersusun, mempunyai pasukan muda serta gabungan pemain berpengalaman. Mereka bertahan dengan baik, melakukan tekanan tinggi, mantap ketika bertahan secara rendah, pantas dalam serangan balas dan mempunyai pemain yang mudah menjaringkan gol.”
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata awal kelmarin bahawa perlawanan menentang juara Eropah 15 kali itu di Emirates merupakan yang paling besar dalam kariernya setakat ini. – AFP
