BRUSSELS, 20 JUN – Thibaut Courtois (gambar-AFP) telah membuat keputusan untuk tidak pergi ke Tallinn bagi mengikuti perlawanan kelayakan Euro 2024 Belgium menentang Estonia hari ini selepas tidak dipilih sebagai kapten gantian minggu lalu.
Dengan ketiadaan kapten tetap, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku telah dipilih sebagai kapten dengan hasil perlawanan seri 1-1 selepas menentang Austria Sabtu lalu.
Jurulatih Domenico Tedesco menyatakan bahawa rancangan asal ialah kedua-dua naib kapten, Lukaku dan penjaga gol Real Madrid Courtois, akan memimpin pasukan dalam satu perlawanan masing-masing semasa rehat antarabangsa.
“Selepas perlawanan, Thibaut tiba-tiba mahu bercakap dengan saya dan memberitahu saya dia akan pulang kerana dia kecewa dan rasa terhina,” kata Tedesco pada sidang media semalam.
“Pada pandangan saya, dia adalah penjaga gol terbaik di dunia. Saya menghargainya sebagai penjaga gol dan juga sebagai seorang individu.
“Saya terkejut kerana dia berasa tersinggung dan kecewa.
“Pada bulan Mac, kami memutuskan bahawa Kevin akan menjadi kapten dan akan ada dua naib kapten, iaitu Lukaku dan Courtois,” ujarnya.
Courtois dalam satu kenyataan berkata, beliau ‘terkejut’ mendengar Tedesco ‘memberi pandangan separa dan subjektif tentang perbualan peribadi.’ – AFP


