Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Courtois kembali ‘hantui’ Madrid

    MADRID, 30 Sept – Penjaga gol Real Madrid Thibaut Courtois kembali menghantui Atletico Madrid apabila cemerlang menyelamatkan dua percubaan berbahaya Antoine Griezmann dan Diego Costa ketika kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

    Courtois menyertai Atletico selama tiga musim ketika dipinjam Chelsea namun pertemuan itu adalah aksi tetangga pertamanya bersama Real.

    Gareth Bale seharusnya meledakkan gol menerusi serangan balas namun percubaannya pada jarak dekat tersasar ketika perlawanan menuju penghujung babak pertama.

    Bale tidak meneruskan babak kedua susulan kecederaan paha, yang mencetus kebimbangan pengendali Real Julen Lopetegui. Real akan bertemu CSKA Moscow dalam aksi Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu nanti.

    Atletico mengekalkan rentak kebangkitan selepas permulaan yang teruk manakala Real dibezakan jumlah jaringan dengan pendahulu Barcelona susulan kekalahan menentang Sevilla sebelum ini.

    Skuad kendalian Lopetegui terikat 14 mata dengan Barcelona. Atletico hanya ketinggalan dua mata di belakang.

    “Kami tidak menang kerana gagal menjaringkan gol, namun keseluruhannya kami mendominasi,” kata Lopetegui.

    “Perlawanan sengit,” kata pengendali Atletico Diego Simeone. “Kami berpeluang menerusi Griezmann dan Costa namun percubaan mereka dinafikan Courtois. Ia mengecewakan kerana kami mahukan kemenangan, namun ia tetap keputusan yang baik.” – AFP

    Aksi tangkas Courtois ketika menangkap bola semasa perlawanan antara Real Madrid dan Atletico Madrid di stadium Santiago Bernabeu di Madrid, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda