MADRID, 27 MEI – Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois berkata dia tidak gentar jika sekiranya perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool pada Sabtu ini akan diheret ke penentuan sepakan penalti.
Courtois mempunyai rekod penyelamatan penalti yang mengagumkan musim ini, setelah menghalang tiga daripada lima penalti, termasuk percubaan daripada Lionel Messi sewaktu menentang PSG dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir.
Detik penting tercipta apabila Madrid bangkit daripada ketinggalan 1-0 pada perlawanan kedua untuk memenangi perlawanan itu 3-2.
Pemain Belgium itu juga memainkan peranan penting dalam kemenangan penentuan penalti baru-baru ini di Madrid, ketika dia menepis rembatan Thomas Partey pada perlawanan akhir Piala Super Sepanyol menentang Atletico Madrid. Pada 2016 pula, Real Madrid memenangi final Liga Juara-Juara terakhir mereka menentang pasukan yang sama, juga melalui sepakan penalti.
Courtois berkata dia akan meneliti mengenai pemilihan pemain Liverpool yang berkemungkinan besar akan mengambil sepakan penalti pada perlawanan itu nanti.
Mohamed Salah sudah pun berkata dia mahu membalas dendam atas kekalahan mereka kepada Real Madrid pada final 2018, apabila dua kesilapan penjaga gol Liverpool ketika itu, Loris Karius menghadiahkan kemenangan kepada Madrid.
Liverpool menandatangani Alisson Becker beberapa minggu kemudian dengan rekod dunia 75 juta euro dan pemain Brazil itu telah menjadi fenomena semenjak itu.
Real Madrid telah menunjukkan sentuhan ajaib mereka sekali lagi dalam Liga Juara-Juara musim ini, selepas melakukan tiga kebangkitan semula berturut-turut menentang PSG, Chelsea dan kemudian Manchester City untuk mara ke final.
Real Madrid Sabtu ini akan memburu kejuaraan Piala Eropah ke-14 bagi menambah rekod kemenangan kejuaraan mereka.- AFP
