LONDON, 12 Jan – Penjaga gol Chelsea Thibaut Courtois mencabar rakan sepasukannya untuk kembali bangkit menjelang perlawanan esok menentang Leicester City.
Skuad kendalian Antonio Conte memperolehi keputusan mengecewakan dalam saingan Piala Liga peringkat separuh akhir pertama menentang Arsenal baru-baru ini di mana perlawanan itu berkesudahan seri tanpa jaringan yang menyaksikan pasukan tuan rumah mencipta banyak peluang namun tidak menghasilkan gol.
The Blues juga diikat oleh kelab divisyen dua Norwich dalam saingan Piala FA pusingan ketiga hujung minggu lalu.
Dengan 41 gol Liga Perdana musim ini, Chelsea mencipta gol kurang daripada kelab empat teratas dan kini ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu liga Manchester City.
Conte menyeru pemainnya untuk menunjukkan keberkesanan apabila berada di depan gol dan dengan perlawanan menentang Leicester di Stamford Bridge hujung minggu ini, Courtois menyambut baik kata-kata pengurus.
“Menentang Stoke, kami boleh mencipta lima gol tetapi apabila berdepan pasukan lain, kami banyak mensia-siakan peluang yang banyak,” kata Courtois.
“Seperti keputusan 2-2 di Emirates dan 0-0 pada hujung minggu lalu menentang Norwich, mungkin kami perlu menjaringkan banyak gol daripada beberapa peluang yang kami cipta kerana saya rasa kami menghasilkan peluang bahaya tetapi kami perlu menyudahkannya dengan baik.”
Namun, tidak ada masalah mengenai cara permainan Chelsea di mana mereka berjaya merobek pertahanan Arsenal tetapi pertahanan Blues Antonio Rudiger tahu bahawa rentak permainan yang baik tidak akan berguna jika tidak menghasilkan gol.
“Saya rasa hantaran terakhir hilang, bahagian terakhir untuk menghasilkan gol. Namun, tidak ada banyak peluang menentang Arsenal. Kami perlu mencipta kemenangan,” katanya.
Tetapi Conte tidak menyalahkan tonggak serangan, dia juga merujuk kepada dua tandukan dari pemain pertahanan Andreas Christensen menentang Arsenal.
“Kami kurang bolos berbanding musim lepas tetapi kami tidak menjaringkan gol seperti musim lepas, kami perlu bangkit,” kata Conte. – AFP