Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Courtois ulas isu tidak dihormati oleh bekas Jurulatih Belgium

    TUBIZE, 19 MAC – Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois, berkata dia telah menjelaskan keputusannya untuk menolak bermain di bawah bekas jurulatih Domenico Tedesco di hadapan skuad, selepas kembali ke pasukan kebangsaan.

    Penjaga gol utama Real Madrid itu berselisih dengan Tedesco secara terbuka selepas tidak dinamakan sebagai kapten dalam perlawanan menentang Austria pada Jun 2023, menyebabkan dia berasa ‘terhina’.

    Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu dijangka kembali beraksi pada Khamis dalam perlawanan playoff penyingkiran Liga Negara-Negara menentang Ukraine selepas disenaraikan dalam skuad pertama jurulatih baharu, Rudi Garcia.

    “Sebaik tiba di pusat latihan, saya berasa lega kerana dapat bercakap di hadapan para pemain kerana banyak perkara tidak benar telah diperkatakan,” kata Courtois kepada pemberita pada Selasa.

    “Kita tidak perlu bercakap mengenainya lagi. Saya lega…

    Reaksi Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois, bercakap dalam sidang media di Tubize hari ini, menjelang perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Ukraine. – AFP

    “Saya membuat kesilapan. Saya mungkin melalui tempoh sukar dari segi mental. Saya mengalami musim yang panjang dan mencabar pada 2023 dengan kecederaan. Saya merasakan ada masalah dengan jurulatih.”

    Courtois, yang mempunyai 102 caps bersama Belgium, berkata dia tidak dihormati oleh Tedesco.

    “Saya tidak merasakan sebarang penghormatan,” tambahnya. “Jurulatih tidak pernah datang berjumpa saya. Saya tidak pernah mengalami perkara sebegitu dalam 16 tahun.

    “Saya meledak pada saat itu kerana saya tidak faham.”

    Belgium telah bergelut sejak tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2022, ketika mereka dilaporkan mengalami konflik dalaman, yang membawa kepada peletakan jawatan jurulatih ketika itu, Roberto Martinez.

    Sebahagian besar pemain Belgium yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia dari 2018 hingga 2021 telah bersara, termasuk bekas kapten, Eden Hazard.

    Belgium tersingkir dari Euro 2024 di pusingan 16 selepas tewas kepada Perancis, dengan Koen Casteels mengawal gawang menggantikan Courtois. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda