LONDON, 26 Jan – Pemain perancang Brazil, Philippe Coutinho (gambar) telah komited untuk terus kekal bersama Liverpool setelah menandatangani satu kontrak baru ‘jangka masa panjang’, umum gergasi Liga Perdana itu semalam.
Liverpool tidak mendedahkan perincian bagi perjanjian itu, tetapi beberapa laporan menyatakan Coutinho telah menandatangani satu kontrak selama lima tahun yang bernilai antara 150,000 pound dan 200,000 pound seminggu.
Coutinho, 24, telah menyertai Liverpool dari Inter Milan dengan perpindahan bernilai 8.5 juta pound pada Januari 2013 dan telah menjadi tonggak serangan utama pasukan sejak itu, menjaringkan 34 gol dalam 163 penampilan.
“Sejak ketibaan saya di sini, saya telah diterima dengan tangan terbuka oleh para penyokong dan semua orang dalam kelab bola sepak ini,” kata Coutinho dalam komennya di laman sesawang Liverpool.
“Ini adalah faktor penting yang memudahkan anda membuat keputusan untuk kekal lebih lama dan ia membantu saya dalam memikirkan mengenai kontrak baru saya.
“Saya hanya boleh berterima kasih kepada semua penyokong yang mempercayai saya. saya harap dapat membalasnya. Saya akan lakukan yang terbaik di atas padang dengan mencipta banyak asis bagi rakan sepasukan serta menjaringkan lebih banyak gol untuk memenangi kejuaraan.” – AFP