BARCELONA, 9 Ogos – Barcelona dilaporkan semakin hampir menyambar pemain perancang Liverpool, Philippe Coutinho dengan rekod perpindahan kelab bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Neymar, yang berhijrah dengan rekod dunia ke Paris Saint-Germain (PSG).
Gergasi Sepanyol itu sudah berminat untuk mendapatkan Coutinho sebelum perpindahan Neymar dengan nilai 222 juta euro (AS$262 million) ke PSG minggu lalu.
Dan akhbar berpangkalan di Barcelona, Sport melaporkan hanya ‘persoalan beberapa jam’ mengenai perjanjian buat pemain berusia 25 tahun itu dengan pegawai Barca sudah berada di England semalam untuk menyelesaikan perjanjian itu.
Sport dan ESPN Deportes masing-masing mendakwa Barca akan membayar yuran perpindahan 90 juta euro.
Bagaimanapun, menurut ESPN, bayaran bonus akan meningkatkan jumlah keseluruhan kepada 120 juta euro.
Barca percaya pemain antarabangsa Brazil itu memiliki kemampuan bukan hanya menggantikan Neymar di samping Lionel Messi dan Luis Suarez selaku tiga bintang di jentera serangan, tetapi juga dapat memberikan sokongan kepada kapten yang berusia 33 tahun, Andres Iniesta di bahagian tengah.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberitahu Barcelona ‘untuk menyimpan tenaga’ minggu lalu dengan menegaskan pemain itu bukan untuk dijual.
Bagaimanapun, Coutinho tidak bermain ketika skuad Liverpool menang dalam perlawanan persahabatan menentang Athletic Bilbao di Dublin, hujung minggu lalu.
Coutinho sudah memiliki pengalaman dalam La Liga dan mengharungi musim cemerlang selama enam bulan ketika dipinjamkan ke Espanyol pada 2012.
Dia kemudian menyertai Liverpool pada Januari 2013 dengan harga hanya 8.5 juta pound.
Dalam 182 penampilan bersama gergasi Inggeris itu, Coutinho telah menjaringkan 42 gol.
Dia juga telah menjadikan dirinya pemain kesebelasan utama Brazil sejak perlantikan Tite sebagai jurulatih tahun lepas, menjaringkan tujuh kali dalam 28 penampilan. – AFP