COVID-19: 10 kali lebih berbahaya daripada H1N1

GENEVA, 14 APRIL – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin menegaskan, koronavirus COVID-19 adalah 10 kali ganda lebih berbahaya daripada wabak selesema khinzir (H1N1) yang mencetuskan pandemik global pada 2009, dengan menekankan vaksin diperlukan untuk sepenuhnya menghentikan penularan itu.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu taklimat maya dari Geneva bahawa organisasi giat belajar tentang virus baharu yang melanda seluruh dunia, yang kini telah membunuh hampir 115,000 orang dan menjangkiti lebih 1.8 juta.

“Kami sedar yang COVID-19 merebak pantas, dan ia membawa maut, 10 kali lebih tinggi daripada pandemik flu 2009,” katanya.

WHO berkata 18,500 orang maut akibat H1N1, yang pertama kali dikesan di Mexico dan Amerika Syarikat pada Mac 2009, namun jurnal perubatan Lancet menganggarkan jumlahnya antara 151,700 dan 575,400.

Kajian Lancet itu merangkumi anggaran kematian di Afrika dan Asia Tenggara yang tidak termasuk dalam jumlah pengiraan keseluruhan oleh WHO.

Wabak itu yang diumumkan pandemik pada Jun 2009 dan dianggap berakhir pada Ogos 2010, dianggap tidak terlalu membawa maut seperti yang dibimbangkan awalnya.

Bagaimanapun, WHO dikritik ketika itu kerana dikatakan memberikan reaksi keterlaluan berkaitan epidemik influenza berkenaan yang membunuh di antara 250,000 hingga 500,000 orang setiap tahun.

Tedros turut bersimpati dengan beberapa negara dunia yang menyaksikan peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 dalam tempoh tiga hingga empat hari lalu, namun menekankan jika negara-negara komited ‘melaksanakan kajian awal bagi setiap kes, melaksanakan pengasingan dan mengambil berat serta mengesan setiap kontak’ mereka boleh mengekang virus tersebut.

Setakat ini, lebih separuh daripada penduduk di dunia berada di rumah masing-masing sebagai langkah dalam menghentikan rantaian penularan wabak, namun Tedros mengingatkan ‘perhubungan manusia secara global boleh menjadi risiko untuk pandemik wabak ini kembali menular dan berterusan’.

Beliau turut mengingatkan COVID-19 tersebar dengan amat cepat, tetapi angka penurunannya agak perlahan.

“Maksudnya, kes COVID-19 menunjukkan lebih banyak peningkatan daripada penurunan.

“Justeru, langkah pengawalan yang ketat perlu diteruskan termasuk dengan melakukan pengesanan kontak dalam kapasiti yang besar,” katanya. – AFP