Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Sebanyak 10 lagi kes baharu telah disahkan dijangkiti COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 50 orang di mana seramai tujuh daripada kes baharu itu mempunyai kaitan dengan kluster perkumpulan tabligh di Kuala Lumpur (KL).
Sementara itu, tiga kes baharu itu mempunyai kaitan dengan kes 25 yang dilaporkan pada 12 Mac, yang tidak ada kaitan dengan kluster perkumpulan tabligh di KL.
Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menjelaskan kes-kes positif yang baharu di mana kes 41 ialah seorang wanita berumur 31 tahun iaitu isteri kepada kes 15 (kluster tabligh). Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan telah mula mengalami batuk dan selesema pada 12 Mac 2020.
Sementara itu kes 42, berumur 55 tahun ialah adik kepada kes 12 (kluster tabligh). Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan telah mula mengalami demam panas dan batuk pada 9 Mac 2020.
Bagi kes 43 pula ialah seorang lelaki warga tempatan berumur 29 tahun. Kes ini tidak menyertai perkumpulan tabligh di KL tetapi telah menghadiri satu perjumpaan tabligh pada 5 Mac 2020 di Brunei yang juga telah turut dihadiri oleh beberapa orang jemaah tabligh di KL.
Manakala kes 44, wanita berumur 23 tahun mempunyai kaitan dengan kluster kes 25. Kes ini telah menghadiri majlis keluarga bersama-sama kes 25 pada 8 Mac dan telah mula mengalami demam panas pada 10 Mac.
Kes 45, wanita berumur 56 tahun mempunyai kaitan dengan kluster kes 25. Kes ini telah menghadiri majlis keluarga bersama-sama kes 25 pada 8 Mac dan telah mula merasa demam dan selesema pada 12 Mac 2020.
Sementara itu, kes 46, lelaki berumur 56 tahun adalah rakan kepada kes 8 (kluster tabligh) yang telah bertemu dengannya pada 9 Mac. Beliau telah mula mengalami demam pada 12 Mac 2020.
Manakala kes 47 ialah seorang lelaki warga tempatan berumur 68 tahun. Kes ini tidak menyertai perkumpulan tabligh di KL tetapi telah menghadiri satu perjumpaan tabligh pada 5 Mac di sini yang juga telah turut dihadiri oleh beberapa orang jemaah tabligh di KL. Bagi kes 48 ialah seorang lelaki warga tempatan berumur 20 tahun. Kes ini tidak menyertai perkumpulan tabligh di KL tetapi telah menghadiri satu perjumpaan tabligh pada 5 Mac di Negara Brunei Darussalam yang juga telah turut dihadiri oleh beberapa orang jemaah yang telah berada di perkumpulan tabligh di KL.
Sementara itu kes 49, lelaki berumur 24 tahun mempunyai kaitan dengan kluster kes 25. Kes ini telah menghadiri majlis keluarga bersama-sama kes 25 pada 8 Mac 2020 dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Sedangkan kes 50 pula ialah, wanita berumur 55 tahun ialah isteri kepada kes 36 (kluster tabligh). Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan tidak mempunyai tanda jangkitan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menjelaskan semua kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan berada dalam keadaan yang baik dan stabil, tidak menghidap demam panas pada masa ini dan tidak memerlukan bantuan pernafasan.
Di samping itu Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menasihatkan orang ramai yang telah menghadiri mana-mana perjumpaan tabligh di antara 5 hingga 8 Mac 2020 di Negara Brunei Darussalam, bersama-sama dengan jemaah tabligh yang telah berada di perkumpulan tabligh di KL, untuk menghadirkan diri bagi menjalani ujian makmal COVID-19 di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha secepat mungkin.
Sementara itu, bagi sesiapa yang mengetahui keberadaan jemaah dan yang tidak menghadirkan diri bagi ujian makmal, bolehlah melaporkannya ke Talian Nasihat Kesihatan 148.
“Kementerian Kesihatan masih giat menjalankan penyiasatan kontak bagi setiap kes. Setakat ini, sebanyak 886 orang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
“Sementara itu, sejak wabak COVID-19 bermula pada awal Januari 2020, sebanyak 1,023 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.