Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: Anak damit antara EMPAT kes import baharu

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Anak damit berusia satu tahun antara empat kes import baharu jangkitan COVID-19 yang telah dilaporkan di negara ini setakat jam 12 tengah hari, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada seramai 266 orang.

    Kesemua keempat-empat kes tersebut tiba di Negara Brunei Darussalam dari Surabaya, Indonesia pada 23 Jun lalu, menurut Kementerian Kesihatan menerusi kenyataan akhbarnya.
    Kes 263 ialah seorang lelaki berumur 42 tahun dan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan manakala kes 264 ialah seorang lelaki berumur 41 tahun yang mengalami simptom batuk.

    Sementara itu, kes 265 seorang perempuan berumur 23 tahun yang mengalami simptom demam panas dan batuk dan kes 266 seorang anak damit lelaki berumur satu tahun yang tidak mengalami sebarang simptom.

    Penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes baharu itu memandangkan mereka telah dikuarantin sebaik saja tiba di negara ini dan keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan dan pengasingan dirinya telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

    Sementara itu, tiga kes sembuh telah dicatatkan hari ini dengan lapan kes masih aktif dalam keadaan baik dan masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan. Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (426 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 125 kes.

    Selain itu, seramai 628 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dengan sejumlah 21,285 orang telah menamatkan pengasingan diri sejak Mac 2020. Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 435 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 143,218 ujian.

    Manakala itu, seramai 96,017 penduduk sudah pun menerima vaksin sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu. Daripada jumlah tersebut, seramai 15,960 orang sudah menerima dua dos lengkap manakala 80,057 lagi mereka yang baharu menerima dos pertama, setakat 5 Julai 2021, jam 5 petang.

    Dengan yang demikian, sejumlah 17.6 peratus penduduk di negara ini sudah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda