Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Walaupun berhadapan dengan cabaran gelombang kedua penularan pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, sistem pendidikan telah menjadi lebih berdaya tahan dan lebih bersedia dengan bertukar hampir serta-merta kepada pembelajaran dalam talian serta jarak jauh.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dalam ucapannya semasa Webinar Hari Guru 2021 bersempena Sambutan Hari Guru ke-31 yang berlangsung secara atas talian, baru-baru ini.
Dalam ucapannya lagi, beliau menyampaikan penghargaan kepada semua guru atas usaha tanpa henti mereka dalam membangunkan sumber pembelajaran dan pengajaran serta menyokong pelajar dan ibu bapa untuk menyesuaikan diri kepada norma baharu itu.
Pada masa yang sama, di tengah-tengah pandemik itu, dapat dirasakan COVID-19 mempunyai impak positif kepada pengajaran dan pembelajaran, melahirkan sebuah generasi pelajar baharu yang lebih berupaya dan berdaya tahan di hadapan malapetaka serta cabaran.
Selain itu, ulasnya, guru-guru dan pelajar-pelajar juga dapat memanfaatkan teknologi secara lebih bermakna dan kreatif.

Beliau menyatakan lagi bahawa apa yang penting ialah komitmen untuk mengekalkan usaha dan mengurangkan sebarang halangan kepada pembelajaran.
Ke arah itu, menerusi Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan, pelbagai projek dan inisiatif telah digerakkan untuk membantu menyediakan dan memperkasa guru-guru, pemimpin-pemimpin sekolah dan pemimpin-pemimpin sistem dalam menyampaikan pembelajaran digital.
Pelan itu, ulasnya lagi, menumpukan kepada tiga bidang utama iaitu teknologi pendidikan, teknologi pengurusan serta infrastruktur dan dasar-dasar yang membolehkan, di mana memperkukuhkan dengan peruntukan pembangunan profesional berterusan daripada pihak-pihak yang berkepentingan relevan termasuk Akademi Guru dan Kepimpinan Brunei Darussalam.
Inisiatif-inisiatif berkenaan, tambahnya, menyumbang ke arah menyokong pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Digital Brunei 2025 dan juga melengkapkan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Menyentuh mengenai webinar berkenaan, Yang Berhormat Dato berkata, temanya iaitu ‘Memperkasakan Kecemerlangan Pendidikan Menerusi Inovasi’ adalah selaras dengan tema Sambutan Hari Guru ke-31 iaitu ‘Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar’.
Dalam hubungan itu, tema webinar terus meletakkan penekanan kepada inovasi dalam pendudukan dan pembelajaran serta menangani pertumbuhan guru-guru khususnya profesionalisme mereka.
Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, dalam persekitaran pendidikan masa kini, di mana sekolah-sekolah sedang berusaha untuk meningkatkan pencapaian pelajar dengan cabaran-cabaran pedagogi, profesionalisme guru memainkan peranan yang penting.
“Kami mengenali dan menghargai peranan pelbagai aspek guru di mana mereka adalah peneraju kritikal pembelajaran pelajar serta juga pelakon utama dalam menyokong kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat yang lebih meluas.”
Beliau menambah bahawa penyelidikan telah menunjukkan bahawa seorang guru yang mempunyai kepuasan pekerjaan yang tinggi, semangat tinggi dan sihat adalah lebih cenderung untuk mengajar pelajaran mereka dengan lebih kreatif dan efektif yang membawa kepada pembangunan serta pembelajaran yang lebih baik pelajar-pelajar mereka.
Dalam hubungan itu, menanamkan penjagaan diri adalah amat penting kerana guru-guru yang bermotivasi tinggi dan berpuas hati boleh memperkasakan pelajar mereka serta menjana hubungan berkualiti baik dengan pelajar-pelajar mereka.
Dalam menyokong guru, pelajar dan ibu bapa, Kementerian Pendidikan telah mengambil inisiatif dengan menyediakan talian bantuan seperti Talian ‘Aafiah dan Talian Kalinga bagi sebarang pertanyaan dan konsultasi.
Selain daripada itu, Talian Sejahtera bagi kebajikan guru dan pemimpin sekolah, menumpukan kepada kesejahteraan dan kesihatan mental mereka.
Yang Berhormat Dato juga menyentuh mengenai pentingnya untuk mempunyai penilaian diagnostik yang jelas bagi keperluan pelajar untuk menghubungkan jurang pembelajaran dan membalikkan kehilangan pembelajaran.
Guru-guru harus didedahkan kepada pelbagai jenis penilaian yang terdapat khususnya Penilaian bagi Pembelajaran yang mempromosikan perkembangan dan pembangunan pembelajaran pelajar.
Dengan inovasi pembelajaran dan pengajaran menggunakan teknologi, tambah Yang Berhormat Dato, penilaian boleh dilaksanakan atas pelbagai platform seperti menggunakan maklum balas formatif dalam talian.
Yang Berhormat Dato dalam ucapannya turut menekankan pentingnya untuk guru dan pelajar muda sentiasa berwaspada akan potensi risiko dalam alam siber.
Oleh itu, adalah amat penting untuk melindungi pelajar dan guru-guru dalam raungan digital dan memastikan dapat mengemudi dengan selamat serta menjadi warga digital efektif dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kefahaman mengenai ruang-ruang di masa mereka berhubungan.
“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kolektif kita untuk membina kompetensi sosioemosi untuk menangkis sebarang isu-isu yang dihadapi oleh pelajar dan guru dalam zaman digital ini,” tambah beliau.