Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Tonggak Sosiobudaya Komuniti ASEAN (ASCC) melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selaku sekretariat kebangsaan dan pengerusi ASCC2021, dengan kerjasama Majlis Belia Brunei (MBB) dan Sekretariat ASEAN, hari ini, telah mengadakan Dialog Platform Inovasi buat kali pertama melalui persidangan video, yang merupakan salah satu pencapaian utama (deliverable) Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN 2021.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KKBS, Platform Dialog Inovasi telah ditubuhkan untuk menjadi acara tahunan, dengan tujuan utama bagi Tonggak ASCC meningkatkan dan mengukuhkan keterlibatan institusi bersama pihak-pihak berkepentingan ASEAN bagi membincangkan isu-isu strategik yang memerlukan perhatian bersama.
Tahun ini, di bawah kepengerusian Negara Brunei Darussalam, dialog membawa tema ‘Pekerjaan Belia dan Digitalisasi dalam Perspektif ASCC’ yang juga selaras dengan tema kepengerusian Negara Brunei Darussalam bagi ASEAN 2021 iaitu We Care, We Prepare, We Prosper.
Kenyataan menjelaskan, ia bertujuan untuk mempertimbangkan kesan pandemik COVID-19 terhadap penghidupan masyarakat dan peluang yang dihasilkan dalam menanggapi kemajuan teknologi di bawah Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
Dialog tersebut telah dimulakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Presiden MBB, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari selaku pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan bagi Majlis Sosiobudaya Komuniti ASEAN (SOCA).

Turut hadir ialah ketua-ketua SOCA dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi ASCC, Tuan Yang Terutama Kung Phoak selaku pemerhati.
Dialog tersebut telah dimudah cara oleh Allen Lai dari UK-ASEAN Business Council Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan, semasa dialog tersebut, wakil-wakil belia dari negara-negara ASEAN telah ikut serta untuk mendengarkan perkongsian daripada individu-individu terkenal daripada negara-negara ASEAN dan UK.
Antara yang dikongsikan adalah mengenai pengalaman, amalan-amalan terbaik termasuk peluang serta cabaran yang dihadapi dalam bidang perniagaan daripada kalangan belia, dalam masa yang sama memanfaatkan peluang yang timbul daripada situasi pandemik serta 4IR.
Hajah Nor Ashikin dalam ucapannya juga mengongsikan mengenai dapatan daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menunjukkan bahawa pandemik COVID-19 telah memberikan kesan terhadap pekerjaan belia, yang melebihi kesan kepada golongan dewasa.
Dalam hal ini, memandangkan rantau ASEAN mempunyai sekitar 40 peratus penduduk belia, sokongan dasar yang luas sangat diperlukan untuk memastikan ASEAN dapat memenuhi keperluan dan aspirasi para belia, yang juga akan menentukan masa depan mereka bersama ASEAN.
Ke arah ini, dialog tersebut berperanan untuk membukakan peluang serta rangkaian jalinan para belia bersama pihak dan individu yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Ini bertujuan untuk memberikan semangat dan inspirasi bagi sama-sama berjaya khususnya dalam situasi norma baharu.
Yang Berhormat Khairunnisa pula menekankan, ASEAN sememangnya menyedari bahawa teknologi, media sosial dan belia adalah saling berkaitan, golongan muda bukan hanya merupakan pengguna aplikasi teknologi, malah mereka juga merupakan ‘pembaharu’ yang akan membuka jalan bagi menghasilkan lebih banyak pembaharuan.
Saranan serta cadangan yang terhasil daripada Dialog ini akan dibincangkan lagi dalam Mesyuarat SOCA ke-31 yang akan diadakan esok, dan seterusnya dihadapkan kepada Mesyuarat ASCC ke-26 untuk dikongsikan dengan badan-badan sektoral ASCC yang berkaitan.
Dialog berkenaan telah diakhiri dengan kesimpulan daripada Timbalan Setiausaha-Agung GS-NYDC, jurucakap, dan Deputy General of Directorate General of Policy and Planning, Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan, selaku Ketua SOCA Kemboja dan Pengerusi SOCA yang akan datang, Tuan Yang Terutama Dr Dy Khamboly.