Tuesday, May 6, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: Brunei catat 63 kes baharu jangkitan tempatan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Sebanyak 63 kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini yang membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 16,476 orang.

    Perkara tersebut telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung hari ini.

    Daripada jumlah tersebut, kesemuanya adalah kes tempatan. “Jumlah kes baharu ini adalah hasil daripada 1,258 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu.
    Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak lima peratus.

    “Di kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, tidak ada kes dalam kategori 4 (memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi) dan dalam kategori 5 (memerlukan bantuan mesin pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Intensif),” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa sebanyak 23 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 15,920 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 454 kes. 

    Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 9.3 peratus.

    Setakat kelmarin, 30 Januari, kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.8 peratus.

    Sementara itu, kadar bagi yang telah menerima dua dos vaksin COVID-19 pula telah mencapai kepada 94 peratus.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan jumlah kadar bagi yang telah menerima tiga dos vaksin COVID-19 di Negara Brunei Darussalam setakat kelmarin yang telah mencapai kepada 40 peratus.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda