Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Negara Brunei Darussalam menerusi kerjasama berterusan dengan Pejabat Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencapai perkembangan yang besar dalam pelbagai bidang termasuk mengukuhkan kapasiti IHR, akses kepada vaksin dan ubat-ubatan diperlukan yang lain, penuaan sihat, pengurangan garam serta aktiviti-aktiviti berhubungan dengan komunikasi risiko.
Perkara itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa menghadiri Sesi WHO Regional Committee for the Western Pacific ke-72 yang diadakan dalam format hibrid di Himeji, Jepun dari 25 hingga 29 Oktober.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, sesi itu dihadiri oleh menteri-menteri kesihatan dan pegawai-pegawai daripada 37 buah negara dan kawasan dalam Rantau Pasifik Barat yang bertemu setiap tahun pada mesyuarat jawatankuasa serantau untuk menyemak kemajuan dan membincangkan isu-isu kesihatan awam utama dalam rantau berkenaan.
Turut ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman dan pegawai-pegawai kanan lain di Kementerian Kesihatan.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato menyampaikan penghargaannya kepada pejabat serantau atas sokongan dan kehadiran mereka pada Persidangan Menteri Khas bagi Kesihatan Awam Digital ASEAN yang dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam pada awal Oktober.

Ia menjadi harapan bahawa WHO akan dapat membantu negara-negara anggota dan menjana persekitaran yang membolehkan seperti urus tadbir yang baik dan amalan pengawalseliaan terbaik dalam pengguna kesihatan digital untuk menyediakan penyelesaian inovatif kepada pelbagai isu-isu kesihatan awam yang menjadi kebimbangan di rantau berkenaan bagi bertahun-tahun lamanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pandemik COVID-19, Yang Berhormat Dato merakamkan penghargaan kepada WHO kerana menyediakan bimbingan dan bantuan termasuk perolehan bekalan perubatan dan makmal yang kritikal serta dalam penglibatan awam sebagai sebahagian rangkaian komunikasi risiko WHO.
Yang Berhormat Dato juga mengongsi pelan vaksinasi remaja Negara Brunei Darussalam yang dijangka akan bermula tidak lama lagi dan Rangka Kerja Pemulihan COVID-19 Kebangsaan yang telah diumumkan baru-baru ini yang menggariskan pelbagai strategi yang diharapkan akan membawa negara keluar daripada situasi pandemik pada masa ini.
Beliau turut mengambil maklum mengenai kesan menjejaskan COVID-19 terhadap kesihatan mental dalam rantau berkenaan dan mengesahkan semula komitmen negara untuk menangani isu berkenaan dengan mengambil peranan peneraju sebagai Pengerusi ASEAN 2021 untuk menyampaikan kerjasama serantau bagi kesihatan mental di bawah kerjasama ASEAN Plus Three serta kerjasama East Asia Summit.
Di samping itu, Yang Berhormat Dato turut menegaskan semula komitmen Brunei untuk kolaborasi berterusan dengan WHO dan negara-negara anggota dalam membangunkan sebuah pakatan membimbing bagi kerjasama yang lebih baik pada masa hadapan.