SEOUL, 28 FEB – Kumpulan K-pop terkenal Korea Selatan, BTS membatalkan empat konsert mereka yang dijadual berlangsung pada April depan berikutan peningkatan mendadak wabak Covid-19 di negara itu yang kini mencecah 2,000 kes.
AFP melaporkan kumpulan yang dianggotai tujuh orang itu akan mengadakan empat konsert di Stadium Olimpik, Seoul sebagai mempromosikan album baharu mereka, ‘Map of the Soul:7’.
Dalam satu kenyataan, Big Hit Entertainment berkata konsert dijangka dihadiri 200,000 peminat, dengan ‘beberapa syarikat penerbitan global dan sekumpulan besar pakar kru antarabangsa’ juga terbabit.
“Adalah mustahil buat masa sekarang untuk meramalkan skala wabak”, katanya, menimbulkan ketidakpastian sehingga tidak dapat dielakkan pertunjukan terpaksa dibatalkan ‘tanpa berlengah-lengah lagi.’
“Kita mesti mengambil kira kesihatan dan keselamatan ratusan ribu tetamu serta artis kita,” katanya. – AFP