Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19 buat pusat budaya Itali sepi

    ROM – Akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh global, banyak sistem kesihatan dan perawatan terjejas bagi menangani wabak itu.

    Dalam masa yang sama, wabak ini turut menjejaskan aspek lain terutama dari segi perekonomian sesebuah negara. Ini kerana arahan penutupan sesebuah negara daripada kemasukan orang asing ke dalam negara dan beberapa tempat seperti pusat membeli-belah, pusat-pusat hiburan, tempat lawatan dan sebagainya terpaksa ditutup sementara bagi membendung wabak berkenaan.

    Apa tah lagi jika sebuah negara itu salah satu sumber ekonominya adalah pelancongan, akan lebih jelas terkesan dengan arahan penutupan kerana tempoh penutupan ini belum diketahui bila akan berakhir.

    Sebagaimana di Itali yang sudah lama dianggap sebagai pusat kuasa budaya di dunia, menyaksikan sebahagian besar tarikan budayanya ditutup sama seperti ekonomi negara yang lain ketika bertempur untuk membendung penularan wabak koronavirus.

    Sejak penutupan kebangsaan berlaku pada 10 Mac lalu, lebih daripada 4,500 muzium di negara ini telah ditutup, termasuk teater-teater, pawagam-pawagam, dewan-dewan konser dan galeri-galeri. Sesuatu yang pasti, beberapa tempat budaya terkenal di negara ini tidak mungkin ditutup.

    Gambar bertarikh 3 April 2020, menunjukkan suasana lengang di jalan yang berhampiran dengan Colosseum di Rom, Itali. – Xinhua
    Salah sebuah tarikan yang terdapat di tengah Itali, jambatan Lama atau Ponte Vecchio di Sungai Arno di Florence. – Xinhua

    Gambar bertarikh 17 Februari 2019, menunjukkan dua orang penonton sedang bergambar semasa Karnival Venice yang terpaksa ditiadakan pada tahun ini berikutan penularan wabak COVID-19. – Xinhua

    “Bandar seperti Rom, Florence, dan Venice adalah seperti muzium terbuka, tersedia untuk sesiapa sahaja yang melalui,” jelas Patrizia Asproni, presiden ConfCultura, sebuah persatuan operator muzium kepada media.

    Meskipun terdapat Colosseum di Rom, Ponte Vecchio di Florence atau St. Mark’s Square di Venice, kebanyakannya tetap sepi kerana aktiviti pelancongan dihentikan dan penduduk diperintahkan untuk tinggal di rumah kecuali aktiviti penting sahaja dibenarkan. Penutupan ini memberi kesan yang teruk kepada ekonomi bagi semua aspek dunia budaya, dari institusi-institusi budaya terbesar di negara ini hingga yang terkecil.

    “Banjir di Venice pada November lalu menelan belanja sebanyak 3 juta euro dan sekarang penutupan ini telah menyebabkan kita kehilangan 8 juta euro dalam kerugian penjualan tiket,” kata Fortunato Ortombina, penguasa dan pengarah artistik rumah opera La Fenice di Venice.

    “Tidak ada yang tahu berapa lama ini akan bertahan, tetapi kemusnahan kewangannya akan ketara,” tambahnya.

    Ortombina berikrar bahawa La Fenice akan terus memberi penekanan kepada kualiti penerbitan yang digunakannya di pentas.

    Tetapi dia juga menyatakan bahawa gedung-gedung opera, teater dan pawagam “adalah antara institusi pertama yang ditutup bagi arahan kuarantin dan antara yang terakhir dibuka semula, hanya kerana mereka memerlukan penonton untuk berada sangat dekat antara satu dengan yang lain.”

    Walaupun Stromboli Eco-Logical Theatre Fest tidak begitu terkenal seperti La Fenice, ia mempunyai masalah yang serupa semasa penutupan berikutan penularan koronavirus, menurut pengarah artistiknya, Alessandro Fabrizi.

    Terdapat acara akan diadakan di Stromboli, sebuah pulau gunung berapi kecil di luar pantai selatan Itali, yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun ini.

    “Kami menetapkan tarikh akhir untuk memutuskan sama ada membatalkan atau tidak pada April ini,” kata Fabrizi kepada media.

    Fabrizi berkata, acara itu memberi kesan ekonomi yang penting kepada pulau itu, yang hanya menempatkan sekitar 500 penduduk tetap.

    Seperti di Venice, yang sudah terkesan akibat banjir tahun lalu ketika perintah penutupan dikeluarkan, Stromboli menyaksikan dua letusan gunung berapi tahun lalu, yang pertama menyebabkan seorang pendaki meninggal dunia.

    “Kami masih berharap agar kami dapat mengadakan festival pada akhir bulan Jun, tetapi ia tampaknya sesuatu yang mustahil,” kata Fabrizi.

    “Seperti semua orang di Itali, kami melakukan yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan realiti baharu ini yang kami hadapi,” tambahnya.

    Penganjur-penganjur acara musim panas yang lain masih berharap akan dapat diadakan ialah Ischia Global Fest. Acara yang kerap menarik bakat Hollywood ke pulau Ischia, di luar pantai Naples, yang telah dijadualkan berlangsung pada bulan Julai ini.

    “Setakat ini tidak banyak yang berubah tetapi kami terus mengawasi apa yang sedang terjadi,” kata Pascal Vicedomini, pengasas acara itu, dalam wawancara.

    “Kami akan memutuskan pertengahan bulan Mei ini, sama ada kami harus mula mengirimkan undangan kepada para pelakon, pengarah, dan penerbit.”

    Festival ini biasanya menayangkan sekitar 70 buah filem yang berbeza setiap tahun, dan dengan saluran-saluran pengedaran yang kebanyakannya berhenti sementara dan kebanyakan pawagam di seluruh dunia ditutup, Vicedomini mengakui bahawa walaupun festival itu berlangsung seperti yang dirancang, ia boleh memberi kesan teruk pada tahun ini.

    “Kami akan mencari jalan untuk memastikan ia dapat diadakan.

    “Di Itali, kami selalu mencari jalan,” jelas Vicedomini. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda