COVID-19 ‘buka mata’ Aaron Aziz

Penularan pandemik COVID-19 sejak hampir dua tahun lalu telah memberikan kesan kepada setiap lapisan masyarakat. Tidak kira apa juga status, pasti ada antara kita terpaksa berhadapan keadaan sukar.

Begitu juga yang dirasai oleh pelakon popular, Datuk Aaron Aziz yang tidak menolak pandemik banyak mengajarnya untuk sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan.

Justeru, bagi meneruskan kelangsungan hidup tanpa bergantung harap kepada pendapatan dalam bidang seni semata-mata, Aaron mengatur langkah menceburi bidang perniagaan sejak beberapa bulan lalu.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kebanyakan kita tidak boleh bekerja dan sebagainya. Saya sendiri melalui perkara yang sama.

“Mujur pada waktu itu The Oud by Aaron Aziz sudah berada dalam pasaran dan kami menggunakan peluang membuat jualan secara atas talian,” katanya.

Aaron Aziz yang tidak menolak pandemik banyak mengajarnya untuk sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan. – Agensi

Ditanya sama ada beliau bimbang dengan saingan produk wangian lain di pasaran ketika ini, pelakon berusia 45 tahun itu sentiasa yakin dengan percaturan rezeki.

“Pertama, The Oud by Aaron Aziz bukan wangian biasa. Selalunya wangian ini kita boleh dapat di Tanah Suci Mekah dan sebagai antara mereka yang terpilih untuk ke sana beberapa kali, saya memang jatuh cinta dengan wangian ini ketika pertama kali mencubanya.

“Namun, yang menjadi masalah adalah sukar untuk mendapatkan wangian ini dalam pasaran tempatan, sebab itu saya bangunkan The Oud by Aaron Aziz.

“Bukan sahaja untuk saya tetapi mereka yang mungkin menyukai bauan ini tetapi pada masa yang sama sukar untuk mendapatkannya.

“Paling penting, walaupun harga produk ini jauh lebih murah tetapi saya tidak pernah memandang enteng soal kualiti,” jelasnya.

Menjawab persoalan sama ada The Oud by Aaron Aziz juga menjadi titik permulaan kepada ‘penghijrahan’ dirinya sejak beberapa tahun lalu, pelakon filem KL Gangster itu tidak menafikannya.

“Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita, pasti ada hikmah. Pada umur sekarang juga saya sudah melalui beberapa peringkat kehidupan.

“Sebagai manusia penting untuk setiap keputusan dalam hidup kita bukan sekadar membawa kita ke arah kebaikan tetapi juga bagaimana ia memberi manfaat kepada mereka yang berada disekeliling kita.

“The Oud by Aaron Aziz bukan sekadar perniagaan tetapi dalam masa yang sama adalah amanah untuk saya,”katanya.

Tegas bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, penghijrahannya itu bukan sebagai satu bentuk trend.

“Semua orang juga mempunyai peluang untuk berubah mendekatkan diri kepada agama. Jadi mengapa kita perlu mempersoalkan niat baik seseorang. Seharusnya ini perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif.

“Kalau perkara ini mampu mewujudkan lebih banyak kesedaran, saya anggap ia adalah sesuatu yang baik,” kata Aaron. – Agensi