COVID-19 bukti kepentingan kerjasama, penyelarasan anggota APEC

KUALA LUMPUR, 20 JULAI – Ciri-ciri epidemik seperti COVID-19 yang tidak mengenal sempadan dan mangsa, hanya membuktikan betapa pentingnya kerjasama serantau serta penyelarasan dasar terbabit, kata Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan sesi perkongsian maklumat Kumpulan Kerja Persediaan Bencana APEC (EPWG) menerusi mesyuarat secara maya esok sebagai sesuatu yang teras.

Pada mesyuarat itu, kalangan sukarelawan ekonomi-ekonomi terbabit akan membentangkan amalan masing-masing dalam usaha menangani COVID-19.

“Jika dilaksanakan, ini akan diterjemahkan ke dalam pembangunan unilateral (sebelah pihak) yang hanya diamalkan oleh kebanyakan negara-negara ekonomi anggota APEC.

Namun, senario terbaik adalah supaya perkara ini dapat dilaksanakan secara pelbagai hala dan merentasi rantau ini,” katanya dalam penerbitan APEC Bulletin yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, pada masa sama Rebecca juga menegaskan sebarang hasil yang positif tidak seharusnya dibiarkan berakhir di peringkat terbabit.

“Forum-forum antarabangsa misalnya telah dikecam kerana sekadar menjadi platform perbincangan semata-mata. Namun, perbincangan hari ini sepatutnya menjurus kepada hasil atau keputusan hari esok.

“Dalam perkara ini misalnya, keputusan yang diharapkan adalah ia mampu mewujudkan rantau yang mempunyai daya tahan lebih baik untuk berdepan bencana seterusnya,” kata beliau.

Menurut Rebecca, ini juga merujuk kepada usaha pembinaan kapasiti agar perkhidmatan pengurusan bencana dapat dikerah seberapa segera dan dikekalkan dalam tempoh yang lebih panjang.

“Kita juga perlu menjadikan ekonomi tertentu untuk mampu menampung termasuk golongan miskin serta perniagaan paling kecil akibat ekonomi yang terjejas selain dapat memastikan institusi terus berfungsi serta mengekalkan aliran perdaga-ngan, makanan dan bekalan,” katanya. – Bernama