COVID-19 cecah 10 juta jangkitan, 500,000 maut di seluruh dunia

NEW YORK, 28 JUN – Jangkitan COVID-19 sudah mencapai 10,108,738 kes termasuk 501,868 kematian manakala 5,480,877 pesakit disahkan sembuh di seluruh dunia setakat hari ini.

Menurut laporan John Hopkins University, Amerika Syarikat masih melaporkan kes dan kematian paling banyak, dengan jumlah 2,510,323 kes dan 125, 539 kematian, manakala Brazil melaporkan 1,313,667 kes dan 57,070 kematian, dua negara yang elepasi jumlah 1 juta kes.

Negara-negara lain yang mempunyai kematian melebihi 20,000 orang termasuklah Britain, Itali, Perancis, Sepanyol dan Mexico, menurut data diperolehi John Hopkins.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan dalam tempoh tujuh bulan, wabak yang menyerang saluran pernafasan itu dikesan meningkat dua kali ganda berbanding wabak influenza teruk yang berlaku setiap tahun.

Peningkatan ketara berlaku ketika kebanyakan negara yang terjejas melonggarkan perintah kawalan dan menyesuaikan kehidupan dengan normal baharu sehinggalah vaksin ditemui. Beberapa negara turut mengalami peningkatan semula jangkitan, pihak berkuasa melaksanakan semula perintah larangan, dengan pakar menjangkakan ia akan menjadi amalan biasa sehingga ke tahun 2021.

Pandemik itu juga dikesan memasuki fasa baharu dengan India dan Brazil turut dilihat bertarung dengan purata 10,000 kes baharu setiap hari sehingga menekan ekonomi, sektor kesihatan dan bekalan sumber mereka.

Dua negara itu menyumbang sebahagian besar kes baharu pada minggu lalu dengan Brazil merekodkan 54,700 kes baharu pada 19 Jun lalu, malah pengkaji menjangkakan jumlah kematian di Amerika Latin akan melebihi 380,000 menjelang Oktober ini.

Di negara seperti China, New Zealand dan Australia, dilihat sudah mula berlaku gelombang kedua jangkitan baharu meskipun berjaya mengurangkan jangkitan dalam kalangan masyarakat setempat.

Pakar juga berpendapat jumlah kes COVID-19 global yang dilaporkan itu hanya sebilangan kecil kerana banyak negara menghadapi kekangan melakukan ujian pengesanan. – Xinhua/Agensi

Seorang pekerja kesihatan memeriksa suhu seorang wanita ketika yang lain menunggu giliran untuk pemeriksaan percuma di kawasan setinggan di Mumbai, India, 28 Jun. India dan Brazil merupakan penyumbang kes baharu terbesar minggu lalu, apabila masing-masing mencatatkan 10,000 kes baharu setiap hari. – AP