MANILA, 29 APRIL – Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) hari ini melaporkan 8,276 kes baharu COVID-19, membawa jumlah kes virus di negara itu kepada 1,028,738.
Angka kematian pula meningkat kepada 17,145 selepas 114 lagi pesakit dilaporkan maut akibat pandemik itu, kata DOH.
Filipina yang mempunyai kira-kira 110 juta populasi, sudah menguji hampir 11 juta orang semenjak wabak COVID-19 muncul di negara Asia Tenggara itu dalam Januari 2020.
Jurucakap presiden, Harry Roque dalam satu sidang media secara langsung di televisyen hari ini mengatakan jangkitan ‘memuncak’ dalam minggu pertama April dan hampir 50 peratus kes disahkan dilaporkan di Metro Manila.
Manakala Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque memberi amaran bahawa jangkitan purata harian ‘masih lagi kekal di atas paras risiko tinggi.’
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kelmarin memutuskan melanjutkan langkah-langkah perintah berkurung tegas di Metro Manila dan empat wilayah berhampiran sehingga 14 Mei dalam usaha mengekang penularan virus.
Duterte mengarahkan pegawai bagi memastikan orang ramai memakai penutup mulut dan hidung serta mengelak perhimpunan ramai. – Xinhua