COVID-19: Dua kini kritikal

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Tiga kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, di mana seorang daripadanya yang sebelum ini hanya menggunakan mesin pernafasan kini memerlukan semula mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

Manakala seorang masih menggunakan kedua-duanya dan seorang lagi dalam keadaan baik. Sementara itu, satu kes telah dicatatkan sembuh daripada COVID-19, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang telah sembuh seramai 137 orang.

Menurut kenyataan media mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di negara ini, hari ini, Negara Brunei Darussalam terus mencatatkan sifar kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.

Jelas kenyataan itu lagi, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 55 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal yang telah dijalankan sejak Januari 2020 kepada sebanyak 18,589 ujian.

Berikutan makluman mengenai aplikasi BruHealth, kenyataan media juga mengongsikan bahawa setakat ini sejumlah 207,395 orang ramai telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi tersebut. Di samping itu juga, sejumlah 3,386 syarikat dan premis telah mendaftar kepada aplikasi tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai yang belum mendaftar adalah disyorkan untuk memuat turun dan mendaftar ke aplikasi BruHealth tersebut.

Kerjasama orang ramai dalam penggunaan aplikasi BruHealth serta sentiasa mengimbas kod QR di tempat keluar masuk premis adalah diperlukan kerana ianya akan sedikit sebanyak memastikan keselamatan orang ramai termasuk penjual dan pelanggan terjamin di samping memudahkan Kementerian Kesihatan untuk membuat pengesanan kontak sekiranya ada penularan jangkitan berlaku.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.

Orang ramai disarankan untuk memuat turun dan mendaftar ke aplikasi BruHealth dan kerjasama orang ramai dalam penggunaan aplikasi BruHealth serta sentiasa mengimbas kod QR di tempat keluar masuk premis adalah diperlukan untuk membuat pengesanan kontak sekiranya ada penularan jangkitan berlaku. – Gambar oleh Yusrin Junaidi