COVID-19: Emirates ubah pendekatan tempahan tiket 

KUALA LUMPUR, 8 MAC – Emirates memperkenalkan polisi pelepasan kepada semua tempahan tiket yang dikeluarkan mulai kelmarin sehingga 31 Mac 2020 yang membolehkan pelanggan di seluruh rangkaiannya membuat pilihan untuk menukar tarikh perjalanan tanpa bayaran perubahan dan pengeluaran semula tiket.

Ketua Pegawai Komersial Emirates, Adnan Kazim berkata langkah itu membolehkan pelanggan membuat keputusan dengan tenang sama ada untuk menukar cadangan perjalanan akibat penularan COVID-19.

“Pelanggan boleh menukar tempahan mereka kepada mana-mana tarikh dalam tempoh 11 bulan bagi tempahan kelas yang sama tanpa dikenakan caj penalti. Perbezaan tambang akan dikenakan sekiranya berkaitan. Polisi ini merangkumi semua destinasi rangkaian Emirates yang sedia ada,”katanya dalam kenyataan kelmarin.

Beliau berkata situasi itu kekal dinamik dan Emirates akan terus mencari pendekatan untuk menawarkan fleksibiliti, keselesaan dan ketenangan kepada para pelanggan.

Menurutnya Emirates juga mengambil langkah berjaga-jaga tambahan dengan melaksanakan prosedur mencegah jangkit yang ditambah baik selepas penerbangan melibatkan destinasi paling terjejas dengan COVID-19.

Emirates Skywards juga akan menyediakan lebih fleksibiliti kepada ahlinya yang terjejas akibat penularan itu menerusi langkah sekatan perjalanan dan pengurangan penerbangan.

“Pelanggan juga dimaklumkan bahawa perbezaan tambang atau cukai mungkin dikenakan sekiranya mereka berhasrat menukar tempahan kelas yang berbeza. Bayaran semula dan syarat-syarat tempahan semula semasa bagi tiket yang dikeluarkan sebelum 5 Mac, masih boleh dilakukan. – Bernama