Tuesday, December 5, 2023
23.1 C
Brunei

    -

    COVID-19: Hampir 7 juta lagi kanak-kanak kurang nutrisi

    PARIS, 27 JULAI – Pandemik COVID-19 yang turut mencetuskan krisis sosial dan ekonomi global dijangka mengakibatkan hampir tujuh juta lagi kanak-kanak berdepan masalah pembantutan akibat pemakanan tak seimbang, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

    Malah, sebelum COVID-19 terjadi, kira-kira 47 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun berdepan dengan masalah kurang makanan berzat, kebanyakannya di Afrika dan Asia Tenggara.

    Kini, apabila perintah berkurung dan kekangan urus niaga antarabangsa mengganggu bantuan bekalan penting, PBB menjangkakan pandemik itu akan memberi kesan terhadap kesihatan jutaan penduduk melangkaui beberapa generasi.

    Menurut laporan jurnal kesihatan The Lancet, unjuran PBB itu dibuat berdasarkan kajian sekumpulan pakar terhadap rantaian bekalan makanan di 118 negara miskin dan berpendapatan sederhana.

    Mereka mendapati kebarangkalian berlaku kekurangan nutrisi sederhana hingga teruk dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun akan meningkat 14.3 peratus, bersamaan dengan 6.7 juta kes.

    Kekurangan nutrisi menyebabkan kehilangan berat yang serius kerana otot dan lemak akan hilang. Kajian itu turut menemui hubung kait yang jelas antara kekurangan berat badan dengan keadaan kesihatan yang kritikal di kemudian hari.

    “Kesan COVID-19 yang mendalam terhadap kesihatan awal kanak-kanak akan menyebabkan perkembangan mereka terbantut termasuk dalam pendidikan, risiko penyakit kronik serta pembentukan sumber manusia,” tulis para penyelidik dalam jurnal tersebut. – AFP

    Gambar fail bertarikh 27 Jun menunjukkan kakitangan perubatan memeriksa anak damit yang mengalami pemakanan tak seimbang disimpan dalam inkubator di hospital Al-Sabeen di Sanaa, Yaman. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Hujan lebat landa selatan India

    INDIA, 4 DIS – Hujan lebat melanda bandar Chennai di selatan India hari ini dan dijangka akan berlaku ribut. Ribut Michaung dijangka melanda pantai...