Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: hanya tinggal 13 lagi yang masih dirawat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Hanya tinggal 13 orang lagi yang dijangkiti COVID-19 masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Daerah Tutong ketika ini yang menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang sembuh kepada 124 orang.

    Sementara itu, Negara Brunei Darussalam hari ini juga tiada mencatatkan kes baharu jangkitan COVID-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 138 orang.

    Kemas kini jangkitan COVID-19 di negara ini telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan tersebut, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan manakala selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

    “Pada hari ini juga, seramai 114 orang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,452 orang,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

    Selain itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 168 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 13,149 ujian.

    “Mengenai dengan kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa tidak ada kes telah disahkan positif semula pada hari ini. “Ini membawa jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini kekal seramai 21 orang di mana lapan orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut,” kongsi Yang Berhormat Dato.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda